Nikmati sajian dengan si bulus

Iklan
Muhammad Ariff bersama sebahagian kucing miliknya yang diletakkan di kafe 'Cat Walk Studio' di Kota Fesyen MiTC.

MELAKA - Berbekalkan hobi sendiri memelihara kucing dan melihat masa depan cerah dalam perniagaan berasaskan haiwan comel itu, mendorong seorang pereka dalaman bertukar bidang mengusahakan perniagaan produk kucing pada tahun 2014.

Muhammad Ariff Abd Ghani, 37, yang berasal dari Bukit Katil di sini, berkata, dia yang sebelum ini membina kerjaya di Kuala Lumpur mengambil keputusan drastik pulang ke Melaka setelah Allahyarham bapanya diuji dengan penyakit kanser prostat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada awalnya dia hanya menjalankan perniagaan menjual barangan kucing, mengusahakan pusat dandanan dan hotel kucing sebelum memperluaskan perniagaan itu dengan membuka kafe kucing yang dinamakan 'Cat Walk Studio' di Kota Fesyen MiTC.

Katanya, apa yang dilakukan sekarang adalah salah satu terapi dan cara untuk mengadaptasikan minat terhadap si bulus.

Iklan
Muhammad Ariff

"Sebelum ini kafe berkenaan beroperasi di Taman Tasik Utama bermula 2017, namun lokasinya dilihat kurang strategik sebelum berpindah di lokasi baharu sejak tahun lalu.

"Alhamdulillah walaupun diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kafe ini masih lagi dapat beroperasi untuk memberikan pengalaman menarik kepada pelanggan," katanya.

Iklan

Ujarnya, dengan adanya kafe ini, peminat si bulus dapat menikmati makanan sambil melihat aksi lebih 20 ekor kucing pelbagai baka yang diletakkan dalam cermin lut sinar.

Cat Walk Studio memberi kelainan menikmati makanan dengan melihat pelbagai aksi kucing.

Menurutnya, selain pusat jagaan harian kucing, zoo mini kucing yang diwujudkan di bahagian tengah kafe membolehkan peminat terutama kanak-kanak mendekati dan memegang haiwan manja itu dengan bayaran yang telah ditetapkan.

Katanya, usaha yang dilakukan juga dapat memberikan pendidikan terutama anak-anak kecil untuk lebih menyayangi haiwan tersebut.

"Untuk sesi 'peeting zoo' perlu ada pengawasan dewasa bagi menggelakkan haiwan itu disakiti.

"Kita faham ada segelintir begitu teruja dan geram melihat haiwan comel itu lebih-lebih beberapa ekor kucing yang ada diimport dari luar negara," katanya lagi.

Peminat si bulus dapat menikmati makanan sambil melihat aksi lebih 20 ekor kucing pelbagai baka yang diletakkan dalam cermin lut sinar.

Muhammad Ariff berharap perniagaan yang diusahakan dengan bermodalkan wang simpanan kira-kira RM200,000 terus menjadi tarikan bukan sahaja pelancong domestik malah antarabangsa lebih-lebih lagi tahun Melawat Melaka 2024.

Tambahnya, dia akan sentiasa membuat perubahan dan penambahan menu termasuk memperkenalkan juadah lauk kampung seperti rendang maman, tempoyak pucuk ubi, daging salai dan itik salai supaya pelanggan tidak jemu.

"Sekurang-kurangnya dapat memberikan satu kelainan kepada orang ramai kerana 80 peratus yang menggunakan perkhidmatan kita seperti hotel kucing merupakan pelanggan tetap.

"Secara tidak langsung kafe ini juga medium yang sesuai untuk bersantai bersama keluarga dan dalam satu masa boleh memuatkan seramai 120 orang," katanya lagi.

Jeffri

Sementara itu, pelanggan, Jeffri Mohamad, 45, yang merupakan seorang guru, menyifatkan konsep kafe sebagai idea kreatif sekali gus memberi pendidikan mengenali haiwan manja itu.

"Tak banyak kafe yang memperkenalkan idea menarik seperti ini, dan paling penting anak-anak gembira kerana lain daripada lain," ujarnya.