IMRAN PTPTN 2026 diperluas ke seluruh negara

Iklan
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (tengah) bersama Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti KPT, Azirin Abdul Aziz bergambar dengan tetamu dan pelajar pada Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) 2026 di Politeknik Banting pada Selasa. Foto: Rosli Talib

BANTING - Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) terus memperkukuh peranannya sebagai inisiatif signature di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak diperkenalkan pada 2021.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, ini adalah tahun kelima pihaknya menganjurkan program tersebut bagi mengeratkan ukhuwah silaturrahim dan memperkukuh hubungan baik antara PTPTN dengan para pelajar serta institusi pendidikan di seluruh negara.

Iklan
Iklan
Norliza (tengah) Abdul Razak (lima dari kiri) dan Azirin (tujuh dari kiri) bergambar bersama penerima sumbangan Kit Kasih PTPTN. Foto: Rosli Talib

Menurutnya, menerusi pelaksanaan berterusan nilai-nilai kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dapat dipupuk dalam kalangan pelajar serta tenaga pengajar.

“Bagi tahun 2026, program IMRAN dilaksanakan dalam skala lebih besar berbanding tahun sebelumnya. Program ini akan berlangsung bermula 24 Februari hingga 13 Mac 2026 melibatkan lima zon utama dengan tujuh lokasi terpilih di seluruh Malaysia.

Iklan

“Lokasi tersebut adalah Politeknik Banting dan City Universiti bagi zon tengah, Politeknik Ungku Omar (zon utara), Politeknik Kota Bharu (zon timur) dan Politeknik Ibrahim Sultan (zon selatan).

“Manakala bagi zon Borneo pelaksanaan program ini akan diadakan di Politeknik Kota Kinabalu dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak. Politeknik Banting merupakan lokasi pertama bagi penganjuran Program IMRAN 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program IMRAN di Politeknik Banting, di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Azirin Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Norliza (tiga dari kiri) menyerahkan replika kad Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM1,500 kepada Pengarah Politeknik Banting,Ts Ibrahim Buhan (dua dari kanan) dan disaksikan Azirin (tiga dari kanan). / Foto: Rosli Talib

Dalam masa sama, PTPTN turut menyampaikan Bantuan Lestari Siswa Madani kepada tiga pelajar yang kurang berkemampuan dan sumbangan Kit Kasih PTPTN dalam bentuk kotak makanan kepada 20 kakitangan politeknik yang memerlukan bagi meringankan keperluan harian mereka pada bulan Ramadan.

Tambah Norliza, diharapkan  Program IMRAN Tahun 2026 akan terpahat di hati semua pihak.

“PTPTN komited untuk mempergiat program CSR bagi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu," ujarnya.

Budaya menabung

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, PTPTN sentiasa komited agar masyarakat khususnya ibu bapa mengutamakan perancangan kewangan untuk kelangsungan pendidikan tinggi anak-anak melalui penabungan dalam Simpan SSPN.

Jelasnya, menjadi hasrat PTPTN untuk mentransformasikan minda masyarakat daripada hanya bergantung dengan pinjaman kepada membudayakan penabungan agar anak-anak tidak dibelenggu hutang setelah tamat pengajian.

“Menerusi Simpan SSPN Prime, pelbagai keistimewaan dan manfaat ditawarkan. Antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan individu ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“Simpan SSPN Prime turut menawarkan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak iaitu kepada ibu bapa yang mempunyai pendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000.

“Geran Sepadan ini merupakan insentif kewangan yang ditawarkan bagi penerima manfaat iaitu anak-anak yang diterima dan mendaftar masuk ke mana-mana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh Kerajaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, sempena Bajet 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT diperluaskan.

Ujarnya, keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI) layak untuk memohon.

“Mereka kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.

“Oleh itu, diharapkan agar ibu bapa dapat menabung dari awal usia. Walaupun dengan jumlah yang sedikit tetapi dalam jangka masa panjang boleh mendapat pulangan berganda,” katanya.

Reaksi

“Bagi saya program IMRAN ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara PTPTN dan institusi kerana selain dapat majlis berbuka puasa bersama-sama ia juga memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha.”

Pelajar

Adam Ezhaq Ahmad Nazri, 20

 

“Saya bersyukur apabila kumpulan PTPTN datang ke tempat kami untuk berbuka puasa, gotong-royong dan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan. Saya berharap program ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi ke tempat lain dan IPT seluruh negara.”

Pelajar

Nurin Zuhairah Mohammad Haris, 20

 

“Sumbangan yang diberikan sangat membantu dan meringankan beban kakitangan gred rendah terutama menjelang Hari Raya. Ini kerana ia boleh digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak, membeli keperluan harian dan sebagainya.”

Pembantu khidmat am

Mohd Azrul Mohd Yazid, 43