Tamat lesen peniaga rosak imej pelancongan negara

Iklan
Gambar hiasan

BEBERAPA hari lalu tular kisah caj perkhidmatan gunting rambut melampau oleh sebuah kedai di Bukit Bintang iaitu sebanyak RM120 yang dikenakan terhadap pelancong dari England.

Perkara tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati mangsa selain turut mendakwa telah bertanyakan beberapa warga tempatan kos atau caj yang dikenakan bagi memotong rambut tidak melebihi RM50.

Iklan
Iklan

Perkara tersebut telah sampai kepada pengetahuan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Selasa dan menyatakan perkara tersebut boleh mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa peniaga berkenaan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

Iklan

Katanya lagi, sebagai negara destinasi pelancongan, penyedia perkhidmatan sepatutnya memberikan servis terbaik dan harga berpatutan. Dunia hari ini semuanya berhubung dan hanya di hujung jari.

Hanya satu muat naik di media sosial, besar kemungkinan satu dunia akan melihatnya.

Iklan

Jika perkara berkenaan baik, maka maklum balas yang diterima juga akan sama, tetapi jika sebaliknya, kesan daripada perkara tular turut terpalit kepada orang lain yang tidak bersalah.

Dalam kes caj gunting rambut ini jika ia tidak ditangani dengan baik, pelancong asing akan takut dan risau untuk datang ke Malaysia.

Ketika ini pemain industri pelancongan masih belum dapat bangkit sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19.

Berdasarkan data, Malaysia berjaya menarik kehadiran 10 juta pelancong asing dan menjana RM28.2 bilion pendapatan pelancongan pada 2022 menerusi pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan (TRF) 2.0.

Jumlah berkenaan lebih rendah berbanding 2019 di mana lebih 20 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia.

Ia menunjukkan bahawa kerajaan dan pihak berkaitan sedang berusaha menarik lebih ramai pelancong luar untuk ke Malaysia bagi memastikan industri berkenaan terus bernafas.

Justeru, tindakan tegas seperti denda cukup tinggi atau menamatkan lesen bagi pihak yang bertindak merosakkan imej pelancongan negara wajar dikenakan dan ia sedikit sebanyak akan menggerunkan pihak cuba mengambil kesempatan ke atas pelancong asing.