JDT perkukuh cengkaman di puncak Liga Super

Iklan
Kesebelasan utama JDT malam tadi. - Foto FB Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta’zim mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super apabila meraih tiga mata berharga hasil kemenangan 4-0 ke atas Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

JDT bermula garang dengan melancarkan asakan bertali arus ke gawang pelawat dalam usaha membuka jaringan namun beberapa percubaan yang dilakukan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Arif Aiman Hanapi akhirnya menggamatkan stadium apabila meledak gol pembukaan skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-20.

Arif Aiman yang menerima lorongan cantiK rakan sepasukan, berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan sebelum merembat melepasi jangkauan penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.

Iklan

Gol berkenaan menyemarakkan semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke gawang pelawat dan kali ini giliran pemain import, Juan Muniz mencatatkan nama selaku penjaring menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-38.

JDT semakin hebat mengasak ke gawang pelawat di penghujung babak pertama, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga tamat tamat babak pertama.

Iklan

Bersambung babak kedua, JDT menggandakan asakan bagi menambah jaringan, namun rembatan penyerang import, Diogo Santo gagal menepati sasaran.

Sabah FC turut melancarkan serangan balas ke gawang JDT dalam usaha merapatkan jurang gol, namun asakan-asakan berkenaan berjaya dikekang benteng pertahanan tuan rumah.

Skuad Harimau Selatan itu kemudiannya berpeluang meledak gol ketiga pada minit ke-55, namun rembatan Arif Aiman berjaya ditampan Khairul Fahmi.

Pertengahan babak kedua menyaksikan Sabah FC mengasak hebat pintu gol tuan rumah dalam usaha memburu jaringan, namun percubaan-percubaan yang dilakukan gagal menepati sasaran.

JDT seumpama tidak kenal penat apabila asakan di penghujung perlawanan menyaksikan penyerang import, Fernando Forestieri menjaringkan gol keempat pada minit ke-88 sekali gus mengukuhkan kedudukan skuad Harimau Selatan itu.

Penghujung perlawanan menyaksikan JDT semakin hebat mengasak ke gawang lawan bagi menambah jaringan, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat.

JDT – Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Jordi Amat (kapten), Shio Hong Wan, Diogo Santo (Leandro Velazquez), Muhamad Feroz Baharudin, Juan Muniz (Afiq Fazail), Endrick Dos Santos (Syahmi Safari), Oscar Arribas (La’vere Corbin Ong), Arif Aiman Hanapi (Akhyar Rashid), Fernando Forestieri

SABAH FC – Khairul Fahmi Che Mat, Gabriel Peres, Taesu Park (kapten), Mohd Rizal Ghazali, Kwang Min Ko (Stuart Wilkin), Darren Lok, Dominic Tan (Muhammad Jafri Firdaus Chew), Saddil Ramdani (Amri Yahyah), Irfan Zakaria, Jailton Da Silva (S.Kumaahran), Irfan Fazail (Baddrol Bakhtiar)

PENGADIL – Muhammad Nazmi Nasaruddin