KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol bagi acara itu tidak ditarik balik sepenuhnya.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, permohonan penganjuran acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), masih diproses dan belum diluluskan.
Kenyataan itu turut menyebut KBS memandang serius penularan tangkap layar yang memaparkan pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai rakan bir rasmi acara berkenaan.
Pendirian itu selaras dengan Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 yang melarang syarikat berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau mengiklankan aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS serta agensinya.
KBS menetapkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan tajaan berkenaan perlu dikeluarkan daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan sebelum kelulusan boleh dipertimbangkan.
Dalam pada itu, kementerian mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] menetapkan syarikat perlu dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebelum terbabit dalam aktiviti sukan.
Kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
KBS menegaskan ketetapan itu terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian bagi memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta.