Rejim Zionis melampau!

Iklan
Akses ke pintu masuk al-Aqsa kini semakin diperketatkan oleh rejim Zionis. - Foto AFP

BAITULMAQDIS - Rejim Zionis bertindak biadab mengusir secara paksa jemaah Palestin yang sedang iktikaf di Masjid al-Aqsa pada hari keempat Ramadan.

Rakaman video memaparkan tindakan kekerasan melampau dilakukan tentera Israel ke atas kumpulan penduduk Palestin pada lewat malam Ahad yang turut mengundang kecaman mufti.

Iklan
Iklan

Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan mengecam perbuatan keterlaluan itu dan menggesa rejim Tel Aviv supaya mematuhi komitmen mereka dan menghentikan sebarang bentuk pencerobohan ganas di tapak suci Baitulmaqdis termasuk al-Aqsa.

Sementara itu, peguam Khaled Zabarqa berkata, penduduk Muslim mempunyai hak iktikaf di masjid untuk memperbanyakkan lagi amal ibadah mereka sepanjang Ramadan.

Iklan

Beberapa jam selepas itu, kumpulan pelampau Yahudi turut melakukan tindakan provokasi apabila menceroboh pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif) dan turut diiringi polis Israel.

Pada Jumaat lalu, Ben-Gvir menyatakan penduduk Yahudi kononnya mempunyai hak untuk bergerak ke mana sahaja di Kota Lama tersebut selepas pemimpin ekstremis itu mencetuskan kemarahan komuniti antarabangsa setelah beliau mencemari kesucian al-Aqsa pada Januari lalu.

Iklan

Ketika ini, rejim Zionis turut mengetatkan kawalan di pintu masuk al-Aqsa yang dikhuatiri akan meningkatkan lagi ketegangan di wilayah tersebut dan mencetuskan semula peperangan seperti sebelum ini. - Agensi

Info:

>Serbuan semakin kerap dilakukan di al-Aqsa selepas ia diluluskan di bawah arahan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir.

>Pada 1 Ramadan, kira-kira 300 ekstremis Yahudi menceroboh Haram al-Sharif.

>Di bawah perjanjian status quo, hanya Muslim dibenarkan beribadat di al-Aqsa manakala pengikut agama lain hanya boleh melawat tapak suci ketiga orang Islam tersebut.