SHAH ALAM - Sokongan dan keyakinan orang Melayu di Semenanjung Malaysia merupakan cabaran utama sedang dihadapi dan perlu diberi perhatian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 100 hari dibentuk.
Ia berdasarkan hasil kaji selidik sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan bermula 6 hingga 16 Februari lalu melibatkan 35,077 responden di seluruh negara merangkumi semua etnik iaitu Melayu Semenanjung, Cina, Bumiputera Sarawak dan Sabah, India serta lain-lain kaum.
Berdasarkan kaji selidik Tinjauan Rakyat Malaysia yang dijalankan lima media arus perdana iaitu Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Malaysia, responden Melayu memberikan penilaian berbeza berbanding kaum-kaum lain.
Persepsi yang rendah daripada kalangan Melayu menjadikan cabaran besar kepada pentadbiran Anwar, sementara kepuasan masyarakat bukan Melayu pula berada pada tahap positif, namun menunjukkan sikap berhati-hati terhadap tindak-tanduk kerajaan.
Jumlah tersebut tertinggi berbanding dengan India (48 peratus), Bumiputera Sabah (42 peratus), Cina (38 peratus), diikuti 37 peratus oleh Bumiputera Sarawak yang berpuas hati.
Mengikut dapatan keseluruhan responden berkaitan tahap kepuasan hati terhadap usaha menunaikan manifesto PRU15, lebih 51 peratus tidak berpuas hati berbanding 25 peratus berpuas hati.
Bagi isu berkaitan tahap keyakinan kemampuan Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan lain-lain akan mampu menunaikan manifesto dalam tempoh lima tahun ini, lebih 71 peratus responden Melayu Semenanjung memaklumkan mereka tidak yakin, berbanding 19 peratus yakin dan 10 peratus lagi tidak pasti.
Situasi tersebut berbeza dengan majoriti kaum lain yang yakin Kerajaan Perpaduan mampu untuk merealisasikan manifesto berkenaan, antaranya India (64 peratus), Cina (58 peratus), Bumiputera Sarawak (52 peratus), Bumiputera Sabah (50 peratus) dan 49 peratus mewakili lain-lain kaum.
Berdasarkan jumlah keseluruhan responden, majoriti atau 50 peratus tidak yakin dengan kemampuan kerajaan melaksanakan manifesto PRU15 berbanding mereka yang yakin (35 peratus) dan 15 peratus pula tidak pasti.