Kedah negeri terbaharu dilanda banjir

Iklan
Kedah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan satu PPS dibuka di Mukim Karangan dekat Kulim. Foto: Ihsan APM Kulim.

KUALA LUMPUR - Kedah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Mukim Karangan dekat Kulim susulan hujan lebat lebih dua jam sejak 2 petang Isnin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Insaniah Jangkang itu dibuka pada 6 petang namun jumlah mangsa masih belum diperoleh kerana proses pemindahan mangsa sedang dilakukan.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 25 rumah di Kampung Padang Limau terjejas selepas hujan lebat sejak pukul 2 petang dan air mula masuk ke dalam rumah mangsa pada pukul 4 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati paras Sungai Padang Limau melepasi paras bahaya dan arus air sungai semakin deras.

Iklan

Justeru, beliau menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan berpindah ke PPS sekiranya paras air semakin meningkat.

Di PAHANG, banjir yang bermula petang tadi ekoran hujan lebat berterusan sejak malam tadi turut menjejaskan daerah Pekan dengan tiga PPS dibuka bagi menempatkan 75 mangsa daripada 21 keluarga.

Sekretariat Jawatankusa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan PPS tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang dan SK Tanah Putih.

Iklan

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kuantan berkurangan sedikit malam ini dengan 1,285 mangsa masih berada di tujuh PPS berbanding 1,310 mangsa yang direkodkan tengah hari tadi.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai di Pahang telah melebihi paras bahaya iaitu Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin.

Di JOHOR, terdapat 155 mangsa masih berada di tiga PPS malam ini berbanding 355 orang pada 4 petang tadi.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang ditempatkan di dua PPS di Batu Pahat adalah seramai 129 orang daripada 34 keluarga manakala di Segamat, seramai 26 orang daripada sembilan keluarga kekal berada di sebuah PPS.

JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di tujuh daerah diramalkan hujan malam ini kecuali Johor Bahru, Pontian dan Kulai yang diramalkan baik.

Sungai Bekok di Batu Pahat juga didapati masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 19 meter. - Bernama.