PN bidas kerajaan kurangkan peruntukan pembangunan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Takiyuddin (gambar kanan).

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) membidas kerajaan yang mengurangkan peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui ahli Parlimen kerana ia memberikan faedah terus kepada rakyat.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peruntukan itu tidak sepatutnya diganggu meskipun kerajaan Persekutuan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras dengan kedudukan dan kekangan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

"Peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui ahli Parlimen yang memberikan manfaat terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu ataupun dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Anwar pada Jumaat mengesahkan peruntukan tahunan kepada ahli Parlimen dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Iklan

Beliau berkata, pengurangan peruntukan melibatkan elaun pembangunan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, PN turut menggesa Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa peruntukan pembangunan itu akan diberikan kepada semua ahli Parlimen seluruh negara merentasi parti sebagaimana yang telah dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Iklan

"Sebelum ini peruntukan tersebut pula disalurkan terus kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

"Jaminan ini amatlah penting diberikan kerana ia juga selaras dengan Tawaran Harapan yang dibuat oleh Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," ujarnya.

Jelasnya, tawaran itu menyatakan bahawa PH bakal menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu di mana peruntukan dana berkenaan perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"PN mengharapkan kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia mengutamakan kepentingan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan dan balas dendam kepada pihak pembangkang yang telah menerima mandat sah daripada rakyat melalui saluran demokrasi pilihan raya dan memenuhi," ujarnya.