Maritim tahan 33 PATI di perairan Tanjung Rhu

Iklan
Sebahagian PATI yang ditahan di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada malam Khamis. - Foto Maritim Malaysia

SEREMBAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menahan 33 pendatang tanpa izin warga Indonesia dan Myanmar di perairan Tanjung Rhu, Selangor malam tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua 21 lelaki dan 12 wanita termasuk seorang tekong dan tiga awak-awak itu ditahan pada 10.30 malam selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tangkapan dilakukan selepas Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim mengesan pergerakan satu kontak mencurigakan sedang memasuki perairan negara kira-kira 9.20 malam.

"Berikutan itu, bot Maritim yang sedang melaksanakan Op Murni bergegas ke lokasi pengesanan dan menemukan sebuah bot pancung berwarna biru tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya Tanjung Rhu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut Iskandar, kesemua yang berusia lingkungan 18 hingga 62 tahun dan bot berserta tiga enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda itu dibawa jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan.

Kes seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. - Bernama

Iklan