MATTA gesa henti spekulasi isu kemasukan pelancong China

Iklan
MATTA sifatkan gesaan sesetengah pihak supaya kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari China sebagai tidak rasional. (Gambar kecil: Tan Kok Liang)

SHAH ALAM - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyifatkan gesaan sesetengah pihak supaya kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari China sebagai tidak rasional.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang meminta semua pihak berhenti dalam memberikan spekulasi berlebihan berhubung berita tentang republik tersebut membenarkan rakyatnya melancong ke luar negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerajaan sejak awal 2022 telah mempunyai persediaan rapi dalam menghadapi kemasukan luar pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

"MATTA mempunyai kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan pelancong China seperti mana yang dilakukan mereka terhadap pelancong dari negara lain.

Iklan

"Sejak pembukaan semula sempadan kita pada awal 2022, negara kita telah mempunyai kemajuan yang mantap dan positif ke arah pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin meminta supaya kerajaan menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China susulan peningkatan kes jangkitan wabak yang melonjak di republik itu ketika ini.

Iklan

Jelasnya, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada 2020 apabila tiada langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

Pihak berkuasa China terdahulu mengumumkan kebenaran kepada rakyatnya untuk melancong ke luar negara tanpa perlu memberikan butiran perjalanan.

Sementara itu, Kok Liang menambah, seramai 3.1 juta pelancong republik berkenaan direkodkan melancong pada 2019 sekali gus menjadikannya sebagai sumber ketiga terbesar dalam pasaran negara.

Ujar beliau, MATTA berharap kerajaan dapat memberikan keputusan yang mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi negara.

"Keputusan kerajaan harus mengimbangi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan reputasi Malaysia sebagai destinasi selamat serta kesan ekonominya dalam perkara ini,” katanya.