Janji temu di fasiliti kesihatan primer melalui MySejahtera

Iklan
KKM memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera di semua fasiliti kesihatan primer bermula Rabu. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera di semua fasiliti kesihatan primer bermula Rabu, sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan itu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, sistem janji temu itu bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu berikutan masa menunggu yang lama.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, lapan perkhidmatan dimasukkan ke dalam sistem janji temu iaitu rawatan pesakit luar; Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI); Saringan Kesihatan PeKa B40 dan pemeriksaan kesihatan prapekerjaan/prapengajian.

"Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, antara kelebihan sistem janji temu dalam talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.

"Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan,” katanya.

Iklan

Dr Zaliha berkata, sistem janji temu itu juga mempunyai fungsi Automated Reminder (peringatan automatik) supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang ditempah.

Bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu, katanya.

"Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien.

"KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu,” katanya. - Bernama