KUALA KRAI - Segelintir mangsa di kawasan Sungai Durian, di sini, memilih berpindah ke bukit bagi menyelamatkan diri daripada banjir.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mereka memilih kawasan tinggi itu kerana enggan dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, usaha memujuk dilakukan oleh pasukan penyelamat yang masuk menggunakan bot sejauh dua kilometer ke rumah penduduk.
"Apabila pasukan penyelamat sampai di depan rumah, mereka tidak mahu berpindah.
"Polis meneruskan usaha memujuk dan sentiasa memantau kawasan banjir bagi memastikan mereka selamat,” katanya ditemui ketika mengetuai operasi menyelamat di Kampung Petaling, Sungai Durian, di sini.
Menurut Suzaimi, ada juga mangsa yang sanggup berada lama dalam air separas 0.8 meter kerana tidak mahu meninggalkan barangan berharga di rumah mereka.
"Kami tidak menggalakkan mangsa berbuat demikian dan menasihati supaya patuh pada arahan berpindah kerana air naik dengan cepat.
"Angka mangsa banjir ini juga dijangka meningkat jika hujan masih berterusan,” katanya.
Menurut beliau, seramai 198 anggota keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melakukan operasi menyelamat di daerah itu.
"Pertambahan anggota akan dilakukan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.
"Kami meminta penduduk peka dengan keadaan semasa termasuk di Sungai Durian yang sudah melimpah ke jalan utama di daerah ini,” katanya.
Setakat jam 12 tengah hari Isnin, Kuala Krai mencatat rekod seramai 2,155 mangsa dipindahkan ke 18 PPS di daerah itu.
Antaranya Kampung Petaling, Kampung Sedek, Kampung Chenulang, Kampung Guchi dan Kampung Kenor.