MANILA - Seorang pegawai polis Filipina dijatuhi hukuman penjara kerana mendera serta membunuh dua remaja semasa kemuncak perang dadah yang diisytiharkan bekas Presiden Rodrigo Duterte.
Dalam tempoh pemerintahan Duterte selama enam tahun yang berakhir Jun lalu, beliau secara terbuka mengarahkan polis menembak mati suspek dadah jika nyawa mereka dalam bahaya.
Difahamkan, lebih 6,200 orang maut semasa kempen anti-dadah, tetapi kumpulan hak asasi manusia menganggarkan angka kematian melebihi puluhan ribu orang.
Bagaimanapun, tindakan keras tersebut menerima kecaman masyarakat dan penyiasatan antarabangsa, namun hanya tiga anggota disabitkan bersalah kerana membunuh seorang suspek dadah.
Dalam kes ini, mahkamah Manila mendapati pegawai polis Jefrey Perez dan Ricky Arquilitia mendera dua remaja pada 2017.
Pegawai sama turut meletakkan senjata dan dadah kepada salah seorang mangsa.
Kemudian, mangsa, Reynaldo De Guzman, 14, dan Carl Arnaiz, 19, dibunuh pegawai sama.
Perez dipenjarakan seumur hidup kerana memalsukan bukti dan dikenakan hukuman penjara minimum 20 tahun selepas melakukan penderaan, menurut kenyataan mahkamah yang disiarkan pada Rabu, manakala Arquilitia meninggal dunia semasa perbicaraan sedang berlangsung. - AFP