PRU15: 410 pegawai, anggota polis Putrajaya bersiap sedia

Iklan
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya Shamshul Joehari Zainal Mokhtar bersama A Asmadi meninjau pusat pengundian di SK Presint 9 (2) di sini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 410 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ditugaskan di kawasan ini bagi melancarkan perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, segala pengaturan dan penugasan pegawai dan anggota telah selesai dibuat.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya hari ini (Jumaat) kita telah menempatkan anggota di pusat penjumlahan undi yang terletak di Kompleks Kejiranan Presint 9 sehingga tamat proses pengundian," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan akhir pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar.

Iklan

Menurutnya, orang ramai dijangka akan memilih untuk keluar mengundi pada awal pagi.

"Putrajaya ini tiada sebarang masalah cuma keadaan parkir yang terhad, kita harap bertolak ansur dan rancang perjalanan dengan baik," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang penutupan jalan bagi mengelakkan sebarang kesesakan.

"Kita tidak mahu ada isu yang timbul, jadi harap semua pengundi dapat hadir menjalankan tanggungjawab masing-masing," katanya.