Kes ucapan Razman, polis tunggu arahan pihak pendakwaan

Iklan
Mohd Yusri

IPOH - Polis Perak sudah menyerahkan kertas siasatan berkaitan laporan dibuat terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang didakwa menyampaikan ucapan berbaur fitnah terhadap pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan itu sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini tiada mana-mana pihak lagi dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Setakat ini belum ada sesiapa dipanggil dan itu bergantung kepada pihak pendakwa," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kompleks Latihan dan Sukan Polis Kontinjen Perak di Jalan Pasir Puteh di sini pada Selasa.

Iklan

Pada 8 November lalu, polis telah menjalankan siasatan berhubung ucapan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol itu yang tular sejak 6 November lalu.

Siasatan tersebut dibuat selepas pihak polis menerima satu laporan dibuat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun mengenai kejadian itu yang mendakwa ucapan Razman didapati mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat terhadap serta ditujukan kepada Anwar.

Iklan

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.