Polis jalankan siasatan lanjut dakwaan pelajar sekolah

Iklan
Mohd Radzi

TASEK GELUGOR - Polis menerima laporan berhubung kes seorang pelajar sekolah di Tasek Gelugor di sini, dikenakan denda yang tidak sewajarnya oleh guru hanya disebabkan memakai kasut jenis berpelekat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pengadu yang merupakan pelajar sekolah terbabit dikenakan denda ketika perhimpunan sekolah dengan dengan melutut sambil mengangkat tangan atas kesalahan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengadu turut mendakwa gurunya itu memotong tali suci yang dipakai di pergelangan tangan ketika dia sedang berjalan ke kelas selain mengarahkannya membuang titik hitam (pottu) dan tanda putih (vibuthi) di dahinya.

"Tidak berpuas hati dengan tindakan guru itu, pelajar dan bapanya datang ke balai polis untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Iklan

Mohd Radzi berkata, siasatan yang dijalankan mendapati pelajar terbabit baharu sahaja pindah di sekolah itu pada Oktober lalu.

Jelasnya, beberapa saksi pelajar serta guru juga telah ditemui untuk diambil keterangan dan menyatakan mereka tidak melihat pelajar terbabit didenda melutut semasa perhimpunan berlangsung.

Iklan

Beliau berkata, terdapat juga saksi yang nampak tali merah pada pelajar terbabit serta tanda di dahi selepas tamat persekolahan.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, pihaknya turut menerima laporan dari seorang guru sekolah berkenaan yang menafikan semua dakwaan pelajar terbabit.

Beliau berkata, sehingga kini kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai agar diminta tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar membabitkan kes penghinaan agama kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum," katanya.