Lapor polis, SPRM jika terima bungkusan dicap lambang parti

Iklan
Rais dan kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara pada Khamis.

SHAH ALAM - Mana-mana individu yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan dicap dengan lambang parti politik tertentu diminta membuat laporan polis atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim memandang berat dan serius terhadap amalan menggunakan lambang parti politik pada kampit-kampit beras, gula, tepung dan bahan bantuan kebajikan yang disampaikan kepada pengundi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang bantuan kepada rakyat hendaklah bebas daripada simbol-simbol badan politik kerana ia merupakan satu bentuk sogokan agar undi diberi kepada parti tertentu sahaja sekali gus mencabul dan melanggar undang-undang anti rasuah negara.

"Sesiapa yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan sedemikian dimohon agar lekas membuat laporan polis atau terus kepada SPRM.

Iklan

"Harga diri demi demokrasi jauh lebih berharga daripada sekampit beras dan sebotol minyak masak," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara pada Khamis.

Beliau berkata, baru-baru ini terdapat beribu-ribu kampit beras dicap dengan lambang parti politik tertentu sebelum dihadiahkan kepada rakyat di kampung-kampung luar bandar dan kampung baharu, rumah pangsa dan tempat-tempat lain.

Iklan

Justeru, Rais juga menekankan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih cakna menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dalam pemantauan itu.

Beliau juga meminta SPR dan SPRM bersiap siaga dan bertindak mencegah perbuatan antikeluhuran itu, selain menyuarakan kebimbangan suasana pada masa kini yang seolah-olah menunjukkan perbuatan sogok-menyogok semakin berleluasa sehingga mewujudkan seperti pesta budaya rasuah.