Pekerja kilang direman tipu jual beli lembu korban

Iklan
Suspek (kanan) direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan jual beli lembu korban pada Mei lalu.

KEMAMAN - Seorang pekerja kilang direman empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes penipuan melibatkan urusan jual beli lembu korban pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di Shah Alam, Selangor kira-kira jam 10 malam pada Selasa.

Iklan
Iklan

Katanya, pihak polis sebelum ini menerima empat laporan daripada mangsa yang mendakwa telah ditipu lelaki berkenaan berkaitan urusan pembelian ternakan itu.

"Selain itu, beberapa mangsa mendakwa turut dibawa melihat ternakan di kandang lembu yang kononnya milik suspek di Kampung Mak Chili di sini, bagi meyakinkan pembeli sebelum membuat bayaran," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Iklan

Bagaimanapun, kata beliau, tindakan licik suspek terbongkar apabila tiada lembu korban diserahkan sebagaimana dijanjikan menyebabkan mangsa tidak dapat menyempurnakan ibadah korban.

"Lelaki itu yang juga penduduk tempatan berjanji akan membayar kembali ganti rugi tetapi bertindak menghilangkan diri. Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas malam tadi hasil kerjasama semua pihak.

Iklan

"Sehubungan itu, orang ramai yang turut menjadi mangsa dinasihatkan supaya tampil membuat laporan polis," katanya.

Hanyan memberitahu, jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.