Jawatankuasa Pengurusan Bencana diaktifkan serta-merta

Iklan
Mohd Zuki - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat merangkumi negeri dan daerah diaktifkan serta-merta bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam mendepani sebarang bencana dan musibah.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persediaan Menghadapi Banjir pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Mengambil kira ramalan hujan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), taburan hujan yang semakin banyak, ribut petir, tanah runtuh serta musibah banjir di beberapa negeri, saya telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat merangkumi di negeri dan daerah untuk diaktifkan serta-merta.

"Saya dimaklumkan dari segi mobilisasi sumber manusia lebih 55,000 pasukan penyelamat daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta aset strategik telah bersedia untuk digerakkan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, lebih 11,000 premis awam di seluruh negara termasuk sekolah, balai raya dan masjid telah didaftarkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa bencana, dan juga sebagai depoh penyimpanan barang bantuan.

"Saya juga ingin menegaskan agar semua agensi kerajaan bekerjasama untuk sentiasa bersedia dan proaktif mengendalikan pengurusan bencana dengan cepat khususnya dalam penyaluran maklumat serta hebahan kepada rakyat semasa banjir.

Iklan

"Marilah kita berdoa agar semua rakyat Malaysia sentiasa dilindungi dan dipelihara daripada sebarang musibah yang boleh menggugat keselamatan dan ancaman nyawa," katanya.