PRU15: UMNO Pahang sasar menang 35 kerusi DUN

Iklan
UMNO Pahang sudah bersiap sedia dan yakin dengan keupayaan jentera di semua peringkat bagi menghadapi PRU15. Gambar kecil: Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN - UMNO Pahang sudah bersiap sedia dan yakin dengan keupayaan jentera di semua peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, persiapan telah dilakukan seiring dengan hasrat Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mempertahankan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRU14.

Iklan

Menurutnya, UMNO/BN negeri juga menyasarkan untuk merebut kembali 10 kerusi DUN yang dimenangi pembangkang seperti yang digariskan melalui petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

"Dalam aspek keupayaan jentera ini, persiapan dibuat sesuai dengan garis panduan yang diwujudkan di semua peringkat termasuk di Pusat Daerah Mengundi (PDM), cawangan, bahagian dan negeri serta ketetapan UMNO pusat.

Iklan

"Sebagai Pengerusi BN dan Ketua UMNO Negeri, Wan Rosdy telah turun padang bertemu dengan jentera akar umbi untuk melihat sendiri persiapan dan keupayaannya.

"Pertemuan beliau turut diaturkan bersama kepimpinan UMNO cawangan dan bahagian," katanya dalam program bual bicara Fikrah Siasah 'Kita Gempur' Bersama Ketua Penerangan UMNO Negeri yang disiarkan secara 'live' melalui Facebook Fikrah Pahang pada Rabu.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau berkata, semua bahagian telah dijelajahi Wan Rosdy dan melalui siri pertemuan itu, beliau telah mengenal pasti secara terperinci isu-isu di semua peringkat untuk diselesaikan dengan cara terbaik.

"Pada masa sama,beliau turut melihat keupayaan parti dalam aspek logistik yang perlu dimantapkan dan diperkuatkan untuk menghadapi PRU15 bagi memastikan kemenangan UMNO/BN," katanya.

Menurutnya, untuk menang selesa pada PRU15, pemimpin dan ahli parti perlu faham pentingnya memenangi hati rakyat.

"Kita kena faham, matlamat utama UMNO/BN menang bukan semata-mata untuk melihat parti berkuasa tetapi paling penting adalah memperjuangkan suara rakyat.

"Untuk memenangi hati rakyat semua pihak dalam parti perlu menolak kepentingan peribadi, elakkan pergeseran dalaman, jangan wujudkan jurang dan sentiasa bersatu dengan satu tekad berjuang demi agama, bangsa dan negara," katanya.

Jelas beliau, teguran itu tidak bermakna wujud masalah dalaman dalam UMNO/BN Pahang sebaliknya sebagai peringatan sebelum perkara itu berlaku.

"Jika perkara ini berlaku, ia boleh menjejaskan fokus parti dalam menghadapi PRU15 nanti.

"Sebab itu kita kena elakkan mendengar dan percaya kepada khabar-khabar angin sebaliknya rujuk kepada pihak yang sepatutnya untuk mendapatkan maklumat lebih tepat," katanya.

Beliau berkata, setakat ini kebanyakan permasalahan dibangkitkan pimpinan cawangan dan bahagian lebih kepada isu rakyat untuk tindakan penyelesaian bukan isu dalaman parti.

"Kita lihat perkara ini satu yang positif kerana situasi ini membuktikan pemimpin akar umbi prihatin dengan nasib rakyat.

"Ia juga satu gambaran jelas kepercayaan rakyat kepada parti yang dilihat mampu membela nasib mereka," jelasnya lagi.

Sementara itu, Syed Ibrahim juga yakin dengan kepimpinan Wan Rosdy dalam menerajui kerajaan negeri yang jelas mengutamakan rakyat tanpa ada pilih kasih.

"Walaupun kerajaan negeri di bawah UMNO, beliau adil kepada semua rakyat sama ada mereka penyokong kerajaan atau pembangkang.

"Perkara ini jelas dilihat dalam penyaluran inisiatif dan bantuan yang diberikan terus kepada penerima layak tanpa mengira parti,"ujarnya.

Iklan
Iklan