Teknologi AI pertama di Malaysia kesan kanser paru-paru

Iklan
Penggunaan teknologi AI yang canggih dan pengimejan LDCT bagi mengesan kanser paru-paru.

SHAH ALAM - Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) dengan kerjasama AstraZeneca dan Qualitas Medical Group memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang pertama di negara ini bagi mengesan kanser paru-paru.

Inisiatif yang turut melibatkan kerjasama dengan tiga buah pusat rawatan kanser swasta terkemuka seperti Hospital Beacon, Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Sunway itu menyediakan pemeriksaan kanser paru-paru secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Program pemeriksaan kanser paru-paru AI yang percuma itu telah dimulakan oleh Presiden LCNM dan Pakar Bedah Kardiotoraks, Dr Anand Sachithanandan bersama Presiden AstraZeneca di Malaysia, Dr Sanjeev Panchal bagi menggalakkan pengesanan awal kanser paru-paru.

Dr Anand Sachithanandan

Presiden LCNM, Dr Anand Sachithanandan berkata, kerjasama itu akan meluaskan lagi akses untuk orang ramai menerima AI yang canggih di klinik penjagaan utama dan jika perlu, siasatan lanjut akan dibuat dengan imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT) di ketiga hospital tersebut.

Iklan

"Sejarah keluarga dan pencemaran udara merupakan faktor risiko yang utama untuk peningkatan trend kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok.

"Kerjasama yang menggunakan teknologi AI untuk saringan kanser ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan ia akan membantu memenuhi keperluan pengesanan kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ujarnya lagi, kerjasama pelbagai pihak antara klinik penjagaan utama Qualitas terpilih dan tiga hospital pakar dalam usaha untuk menyediakan akses kepada teknologi AI dan pengimejan LDCT yang canggih untuk pesakit.

"Kemajuan perubatan yang inovatif seperti ketersediaan mesin algoritma AI merupakan satu langkah besar untuk industri dan berpotensi untuk mengubah status industri perubatan semasa.

"Kami berharap untuk mewujudkan peralihan peringkat penyakit secara berkesan sambil mengesan lebih banyak kanser paru-paru di peringkat awal dalam komuniti,” jelasnya.

Sementara itu, Sanjeev berharap untuk meluaskan akses bagi pesakit untuk mendapatkan diagnosis awal kanser paru-paru untuk mengurangkan kadar kematian disebabkan penyakit itu di negara ini.

"Penyepaduan teknologi inovatif seperti AI untuk saringan kanser paru-paru yang bermula di peringkat penjagaan utama adalah bukti bagaimana pemeriksaan awal boleh meningkatkan kadar rujukan yang tepat bagi individu berisiko tinggi untuk mendapatkan diagnosis lanjut dari hospital dengan menggunakan teknik pengimejan LDCT yang dapat menyelamatkan nyawa.

"Kita berharap inisiatif ini akan membuka jalan kepada pengusaha industri lain menyertai gabungan ini untuk membantu meluaskan lagi akses bagi pesakit dalam mendapatkan diagnosis kanser paru-paru pada harga berpatutan di Malaysia," jelasnya.