Buruh tak mengaku salah langgar pegawai imigresen

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah memandu dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan kematian pegawai imigresen.

SUNGAI PETANI - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, memandu dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan kematian pegawai imigresen pada 4 September lalu.

Tertuduh dikenali sebagai Nur Holis, 27, seorang warga Indonesia membuat pengakuan itu di hadapan Majistret M Kalaiarasi sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa memandu dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan kematian Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46.

Perbuatan itu dilakukan pada 4 September 2022, jam lebih kurang 9.30 pagi di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Iklan

Disebabkan perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum bawah Seksyen dan Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum sebanyak RM20,000 dan maksimum sebanyak RM50,000.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa.

Mahkamah menetapkan 28 September depan bagi tarikh serahan dokumen.

Kalaiarasi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua orang penjamin dan pasport antarabangsa diarah ditahan.

Sebelum ini, media melaporkan pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang disyaki merempuh dua buah motosikal dalam kejadian langgar lari, ditahan polis ketika menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang lagi rakan mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, patah kaki kanan.

Kedua-dua mereka bertugas di Depot Tahanan Sementara Sungai Bakap di Pulau Pinang.