10.2 juta batang rokok putih dirampas

Iklan
Abdul Halim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan rokok tanpa cukai yang dirampas.

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas 10.2 juta batang rokok tidak bercukai bernilai RM816,800 di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Ogos lalu.

Semua rokok tersebut disyaki diimport sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur dan diseludup menggunakan sebuah kontena oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

Iklan
Iklan

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Ramli berkata, rampasan dilakukan oleh pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang yang dibantu Unit Kawalan Kontena Pelabuhan Kelang pada jam 1.10 petang.

Menurutnya, melalui dokumen yang diperoleh, dagangan tersebut disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Timur.

Iklan

"Kita menahan sebuah kontena dan hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut membawa 1,021 MasterCase rokok putih berjumlah 10.2 juta batang disyaki tidak berkastam.

"Kesemua rokok tersebut bernilai RM816,800 dan cukai berjumlah RM6.5 juta. Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan kita masih mengenalpasti suspek yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini.

Iklan

"Kita hanya menemui ejen perkapalan ketika serbuan dijalankan, namun siasatan dijalankan akan menjurus kepada tangkapan selepas ini," katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Abdul Halim berkata, modus operandi yang digunakan syarikat berkenaan adalah dengan mengikrarkan dagangan sebagai cendawan dalam tin (can mushroom) 'Bill of Lading' dan Manifes Import (K4).

"Syarikat berkenaan didapati mengemukakan maklumat yang tidak betul dan mengelirukan. Alamat syarikat yang menerima juga mengelirukan sekali gus status syarikat tersebut juga diragui. Oleh demikian, kita belum dapat memastikan sama ada ini kali pertama syarikat ini menjalankan kegiatan ini atau sebaliknya.

"Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.