Isu LCS: Dokumen sebut harga antara pendedahan pertama Rafizi

Iklan
Rafizi Ramli memulakan siri pendedahan berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS).

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memulakan siri pendedahan berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan beberapa dakwaan antaranya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menerima dokumen sebut harga daripada Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS) sebelum surat lantikan (LOA) kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan dokumen dalaman BNS yang dibocorkan kepadanya itu mengandungi sebut harga daripada DCNS bernombor 10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010.

Iklan
Iklan

Beliau turut menerima dokumen sebut harga daripada sebut harga dari DCNS bernombor 11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011 dan surat niat (Letter of Intent)) dari DCNS bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011.

"Tarikh-tarikh sebut harga dari DCNS (sebagai sub-kontraktor) kepada BNS (sebagai kontraktor utama kerajaan Malaysia) adalah sangat penting apabila kita membandingkan garis masa skandal ini.

Iklan

"Surat lantikan (Letter of Award) dari Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertahanan) untuk melantik BNS sebagai kontrak projek kapal perang LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

"Ini bermakna DCNS bukan sahaja telah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai rundingan pembinaan kapal perang ini, malah DCNS telah pun menghantar sebut harga dan diberikan surat niat sebelum BNS dilantik menjadi kontraktor utama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Siasatan BHIC temui perkara luar biasa

Iklan

Rafizi berkata, satu siasatan dalaman BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation), iaitu salah satu syarikat induk yang memiliki BNS telah membuat kesimpulan bahawa adalah luar biasa apabila sudah pun ada sebut harga daripada DCNS bertarikh 23 Disember 2010 sebelum LOA dikeluarkan kerajaan Malaysia kepada syarikat itu.

"Ini menunjukkan kontrak ini telah dimuktamadkan lebih awal di antara vendor (DCNS) dengan pihak-pihak berkepentingan di BHIC atau BNS yang berkuasa membuat keputusan.

"Sejarah DCNS dan amalan korupnya yang merasuah individu-individu semasa rundingan kontrak pertahanan diketahui umum dan telah menjadi kes mahkamah di Perancis setelah pihak berkuasa Perancis menyerbu pejabat DCNS & Thales,” katanya.

Jelasnya, sebahagian besar daripada masalah-masalah yang menyebabkan penyelewengan dan kelewatan projek kapal perang LCS berpunca dari dua keputusan utama iaitu, penukaran reka bentuk kapal dari kelas Sigma yang dipilih oleh TLDM kepada kelas Gowind (yang ditolak TLDM tetapi diluluskan Menteri Pertahanan).

"Satu lagi punca ialah pelantikan kontraktor dan perincian kontrak berat sebelah yang merugikan negara serta TLDM,” katanya.

Ujar Rafizi, isu penukaran reka bentuk kapal daripada Sigma kepada Gowind menjadi tumpuan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

"Prosiding PAC menunjukkan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pada mulanya bersetuju (pada 26 Mei 2011) dengan pilihan TLDM untuk menggunakan reka bentuk Sigma.

"Akan tetapi, dua bulan kemudian iaitu pada 11 Julai 2011, Menteri Pertahanan menukar keputusan itu dan bersetuju dengan cadangan BNS (kontraktor utama kapal perang LCS) untuk menggunakan reka bentuk Gowind," katanya.

Jelasnya, TLDM memilih Sigma demi keperluan dan kehendak pertahanan negara kerana kelas Sigma dinilai sebagai lebih baik dan lebih moden berbanding kelas Gowind.

"Apabila Ahmad Zahid menukar reka bentuk kepada kelas Gowind, ini bermakna keupayaan pertahanan laut tidak akan menepati kehendak dan perancangan TLDM.

"Lebih penting lagi, reka bentuk Sigma dan Gowind melibatkan sub-kontraktor yang berbeza. Reka bentuk Sigma, jika dipilih, melibatkan kepakaran pembinaan kapal dari Belanda berbanding reka bentuk Gowind yang melibatkan kepakaran dari Perancis,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi turut mendakwa ada pihak berkepentingan yang mahukan sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina kapal LCS ini, walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma.

"Sub-kontraktor dari Perancis ini bukan asing lagi dalam skandal pembinaan kapal di Malaysia. Akhirnya, sub-kontraktor yang dilantik adalah DCNS, iaitu kontraktor yang sama terlibat dalam pembinaan dan perbekalan kapal selam Scorpene.

Beri bayangan ada campur tangan pihak lebih atas

Beliau turut memberi bayangan kemungkinan wujud campur tangan pihak lebih tinggi daripada Menteri Pertahanan ketika itu berdasarkan keputusan memilih Sigma kepada Gowind (yang dibekalkan DCNS).

"Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.

"Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak,” katanya.

Katanya lagi, Najib lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan pada ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS dipilih.

"Kedua, beliau mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar negara.

"Selain dari projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent (sebuah syarikat pembuat paip yang tidak ada pengalaman membina LRT). Saya telah mendedahkan skandal ini pada 2012,” katanya.