Torehan tebuk bantu pekebun kecil kutip hasil getah ketika musim tengkujuh

Iklan
Ahmad Zahid (dua dari kiri) memakaikan jaket skuad Agrikomoditi kepada salah seorang peserta.

MELAKA - Teknologi baharu ‘puncher tapping’ atau ‘torehan tebuk’ yang telah diuji keberkesanan di Sarawak bakal diperluaskan ke Semenjung Malaysia tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, teknologi itu membolehkan susu getah (lateks) dikeluarkan walaupun pada musim tengkujuh.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, teknologi daripada hasil kajian selama 15 tahun itu tidak memerlukan kaedah torehan seperti amalan biasa, sebaliknya hanya menggunakan saluran khas yang dipasang pada batang pokok getah bagi membolehkan lateks dikeluarkan.

"Malah, pokok-pokok getah tua yang tidak lagi mengeluarkan hasil melalui kaedah torehan biasa juga boleh digunakan sebagai sumber pengeluaran getah.

Iklan

"Melalui teknik ini, pokok-pokok berkenaan sebenarnya boleh mengeluarkan hasil lebih banyak berbanding pokok yang ditoreh secara konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Salam Agrikomoditi Madani @Melaka di Dewan Hang Lekir, Tanjung Kling di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut mempergiat usaha meningkatkan pengeluaran lateks tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import yang mencecah kira-kira RM7 bilion setahun.

Katanya, sebanyak 137 lokasi depoh lateks dikenal pasti untuk dibangunkan bagi menyelaraskan urusan pengumpulan dan pembelian hasil antara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

"Daripada jumlah itu, 30 depoh telah dimulakan dan tahun depan kita akan menambah kira-kira 50 lagi.

"Matlamatnya supaya RISDA dan LGM dapat menyelaraskan pusat pengumpulan serta pembelian lateks bagi meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan import untuk kegunaan industri berasaskan getah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menggalakkan kerjasama dengan pihak industri bagi menghasilkan lebih banyak produk hiliran berasaskan getah.

Katanya, langkah itu bukan sahaja berpotensi meningkatkan harga getah, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan selain memberi nilai tambah kepada industri berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, usaha memperkukuh pengeluaran lateks tempatan dan memperluaskan penggunaan teknologi baharu itu diharap dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil, termasuk ketika musim tengkujuh.