Baki Wang Tak Dituntut RM14 bilion, ada pemilik tidak sedar hak mereka

Iklan
Amir Hamzah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Kerajaan merekodkan baki RM14 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) setakat akhir September lalu, antaranya disebabkan pemilik tidak menyedari tentang wang yang menjadi hak mereka.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keadaan itu berpunca daripada kurangnya pengetahuan orang ramai mengenai kewujudan WTD serta hak untuk membuat tuntutan.

Iklan
Iklan

“Ia juga disebabkan kegagalan mengesan pemilik wang berikutan maklumat perhubungan seperti alamat dan nombor telefon yang tidak lagi tepat atau tidak dikemas kini.

“Selain itu, ia berpunca daripada kekurangan maklumat mengenai kewujudan WTD, khususnya apabila pemilik tidak menyedari terdapat wang yang masih terhutang kepada mereka oleh entiti atau syarikat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Amir Hamzah berkata, sebahagian wang berkenaan juga tidak dituntut selepas pemilik meninggal dunia kerana waris atau pentadbir harta pusaka tidak mengetahui kewujudannya.

Iklan

Menurutnya, keadaan itu turut melibatkan waris atau wakil yang berdepan kekangan dokumentasi apabila perlu mengemukakan bukti bagi mengesahkan hak mereka terhadap wang berkenaan.

Malah, katanya, terdapat pemilik yang sudah mengetahui kewujudan WTD tetapi masih belum membuat tuntutan atas faktor peribadi atau kekangan masa.

Bagi memudahkan proses pemulangan wang kepada pemilik yang sah, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memperluas kemudahan tuntutan kepada masyarakat luar bandar.

Katanya, orang ramai kini boleh menyemak dan membuat tuntutan WTD secara dalam talian menerusi portal eGUMIS yang dikendalikan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

“Melalui portal eGUMIS, orang awam boleh menyemak dan membuat tuntutan WTD secara dalam talian,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem itu membolehkan wang dikembalikan kepada pemilik yang sah dengan lebih cepat dan mudah tanpa dikenakan sebarang caj.

Menurutnya, portal eGUMIS turut diintegrasikan dengan MyGov Malaysia sejak 22 Januari lalu bagi memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.

“Setakat 30 Oktober, sebanyak 176 program reruai WTD telah dilaksanakan oleh JANM di seluruh negara berbanding 89 pada 2025,” katanya.

Kata Amir Hamzah, JANM turut melaksanakan perkhidmatan bas bergerak dua kali sebulan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan menggalakkan lebih ramai pemilik atau waris mendapatkan semula wang yang menjadi hak mereka.