Projek musang king bukan punca kepala air: MB Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi (tiga kanan) mendengar taklimat ketika Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi di Desa Keda Kampung Sadek pada Rabu.

BALING - Kejadian aliran puing dari Gunung Inas atau kepala air di Kampung Iboi Kupang di sini, diyakini bukan berpunca daripada projek musang king seperti dakwaan sesetengah pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengulangi kenyataan bahawa tragedi yang mengorbankan tiga nyawa 4 Julai lalu, bukan disebabkan oleh projek tanaman durian musang king di atas gunung tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kolam takungan untuk projek itu juga tidak pecah seperti yang didakwa pihak tertentu.

"Kalau ikut pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi yang diketuai oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), tidak ada sebab (daripada) projek musang king.

Iklan

"Kolam takungan projek musang king tidak pecah, jadi itu hanya usikan-usikan daripada netizen dan orang ramai dengan fakta yang tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi di Desa Keda Kampung Sadek di sini pada Rabu.

Iklan

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kolam takungan projek musang king di Gunung Inas pecah, Muhammad Sanusi menjelaskan sebenarnya menteri ada menyebut perkataan kemungkinan.

"Sebelum ini ayat awal beliau menyebut 'kemungkinan' namun tidak ada siapa pun peduli (perkataan) kemungkinan, semua ambil selepas kemungkinan," jelasnya.

Sementara itu, mengenai dakwaan kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kampung di mukim Baling semalam akibat aliran air dari Gunung Inas, beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.