Kerusi perlu dikosongkan jika ahli Parlimen bertukar parti

Iklan
Ismail Sabri berbahas pada sesi pembentangan di Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti menetapkan ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti sama ada dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi yang disandang mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu merupakan antara lapan parameter penting yang terkandung dalam RUU itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kandungan lapan parameter RUU itu dibuat hasil pertimbangan dan perbincangan lanjut Jawatankuasa Pilihan Khas terhadap semua persoalan berbangkit sepanjang tempoh libat urus berlangsung sebelum ini.

"Parameter pertama adalah perundangan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan akta mulai tarikh kuat kuasa akta.

Iklan

"Kedua, pendekatan satu langkah (one-step approach) diambil dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti, iaitu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Ketiga, ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat.

"Seterusnya, keanggotaan seorang ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan. Selain itu keanggotaan seorang ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Iklan

Selanjutnya, parameter lain yang turut terkandung dalam RUU itu adalah keanggotaan ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan Rang Undang-Undang ini adalah keahlian seorang ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik.

"Parameter selanjutnya adalah penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta mana-mana ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi ahli Dewan Rakyat bebas, akan terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya.

Tambahnya, parameter terakhir adalah pengecualian terhadap larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang terbahagi kepada tiga iaitu mereka tidak terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya, pelepasan keanggotaan ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan pemecatan ahli Dewan Rakyat daripada keanggotaan dalam parti politiknya tidak menyebabkannya perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang disandangnya.

Ismail Sabri sebelum itu membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti untuk bacaan kali kedua sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat selepas itu.