10 premis jual minuman alkohol dikompaun

Iklan
Pemeriksaan dokumen dijalankan oleh Penguatkuasa Kesihatan dan DBKL.

KUALA LUMPUR - Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) mengeluarkan notis kompaun berjumlah RM30,000 terhadap 10 premis jualan dalam Operasi Bersepadu Minuman Beralkohol di sekitar ibu negara pada Selasa.

Pengarahnya, Dr Nor Aishah Abu Bakar berkata, kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 termasuk satu notis di bawah undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2016.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 43 buah premis jualan minuman beralkohol diperiksa dalam operasi membabitkan 76 anggota penguatkuasa JKWPKL&P, Pejabat Kesihatan dan DBKL.

"Operasi kali ini telah menyasarkan premis-premis jualan minuman beralkohol di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur melibatkan pelbagai aktiviti pemeriksaan jualan minuman beralkohol.

Iklan

"Ia termasuk pemeriksaan label tidak memenuhi standard, penyediaan papan tanda had umur serta pameran dan jualan minuman keras di rak berasingan dengan makanan atau minuman lain.

"Tindakan penguatkuasaan dijalankan termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyitaan makanan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau memaklumkan, setiap notis kompaun berjumlah RM3,000 setiap satu dikeluarkan adalah mengikut Peraturan 361(2) (dua notis), Peraturan 361(5) (dua notis) dan Peraturan 361(5A) (b) (enam notis).

"Di bawah DBKL pula, sebanyak satu notis dikeluarkan dengan nilai minima RM500 di bawah kesalahan gagal mempamerkan lesen jualan minuman alkohol yang terkini," katanya.

Tambahnya, sebanyak enam jenama produk alkohol dengan jumlah lapan item turut dikenakan tindakan sita dengan nilai keseluruhan sebanyak RM586.20.