Anak muda bersihkan kemudahan awam, rakyat perlu nilai pentadbiran Kelantan - ADUN Kota Lama

Iklan
Dr Hafidzah (tengah) semasa menyerahkan Memo Sempena Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita 2026 kepada Ketua Polis Kelantan di IPK Kelantan pada Rabu.

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan perlu menilai semula prestasi pentadbiran kerajaan negeri susulan kemunculan gerakan anak muda yang secara sukarela mengambil inisiatif memulihara kemudahan awam, sekali gus mendedahkan kelemahan pengurusan sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kemunculan gerakan anak muda itu menunjukkan rakyat sebenarnya mempunyai pilihan terhadap bentuk pentadbiran yang lebih cekap.

Iklan
Iklan

"Kita lihat di Kota Bharu bagaimana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak muda boleh melihat ketidakfungsian kerajaan yang ada, terutama membabitkan kebersihan, infrastruktur dalam bandar selain bekalan air bersih.

"Perkara sebegitu yang dilakukan anak muda sebenarnya mampu membuka mata rakyat Kelantan bahawa mereka mempunyai pilihan pentadbiran yang lain," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Iklan

Terdahulu, beliau menyerahkan Memo Sempena Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita 2026 kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Dr Hafidzah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan gerakan anak muda, Hiyaz Community yang mengecat dan membersihkan sebuah perhentian bas sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh, namun kemudahan itu didakwa dirobohkan selepas kerja berkenaan selesai.

Iklan

Tindakan merobohkan perhentian bas yang baru dicat dan dibersihkan sukarelawan itu tular di media sosial sehingga mengundang rasa kesal pihak terbabit.

Susulan daripada itu, kerajaan Kelantan menyarankan mana-mana NGO supaya merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum melakukan aktiviti sosial dan kemasyarakatan termasuk membersihkan serta menghias perhentian bas.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, ia bagi mengelakkan berlaku salah faham di antara NGO dan PBT.

Mengulas lanjut, Dr Hafidzah berkata, pandangan berkenaan wajar diberi perhatian, namun kerajaan negeri juga perlu melihat tindakan anak muda itu sebagai isyarat rakyat mahukan pentadbiran lebih cekap.

"Kerajaan sepatutnya melihat perkara ini sebagai satu usaha rakyat yang dahagakan pemerintahan lebih cekap, khususnya dalam menguruskan kemudahan awam dengan baik.

"Kalau kawasan sudah bersih, kenapa mereka (NGO) perlu ambil peduli? Saya rasa apa yang berlaku termasuk kejadian yang tular itu sebenarnya membuka mata rakyat," katanya.

Beliau memberitahu, walaupun kerajaan mempunyai tatacara tersendiri dalam menangani sesuatu isu, tindakan berkenaan tidak seharusnya dilihat sekadar gerakan anak muda semata-mata.

Sebaliknya Dr Hafidzah berkata, kerajaan negeri perlu mengambil serius teguran dan suara yang dibangkitkan kerana ia mencerminkan harapan rakyat terhadap mutu perkhidmatan serta pengurusan kemudahan awam.