Penjara tawar khidmat Orang Diparol

Iklan
Ahmad Saidi (tiga, kiri) menerima sumbangan al-Quran daripada Che Mohd Ibrahim.

MARANG - Jabatan Penjara Malaysia Terengganu mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) membuat permohonan untuk mendapatkan khidmat Orang Diparol (ODP) bagi menjalankan aktiviti amal di Terengganu.

Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Ahmad Saidi Hamzah berkata, pihaknya mempunyai seramai 126 ODP di seluruh negeri termasuk 71 orang di Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan
Menurutnya, ODP terdiri daripada penjenayah yang melakukan kesilapan ringan seperti penagihan dadah atau peras ugut, tetapi dibenarkan untuk hidup dalam masyarakat kerana tingkah laku baik.

"Mereka dinilai berdasarkan tingkah laku yang baik dan menjalani hukuman di bawah program ODP berdasarkan tempoh hukuman masing-masing.

"Mereka sentiasa dipantau sekurang-kurangnya dua minggu sekali dan jika melakukan kesilapan mereka akan dikenakan hukuman di penjara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan al-Quran daripada Pertubuhan Kebajikan Warisan Melayu Islam Malaysia (Warisan) di Penjara Marang, di sini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latif dan Presiden Warisan Terengganu, Che Mohd Ibrahim Che Ghani.

Iklan

Ahmad Saidi berkata, pembabitan ODP dalam program kemasyarakatan dianjurkan NGO dapat membantu pemulihan ODP itu sendiri ke arah yang lebih baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, Penjara Marang mempunyai 2,613 penghuni yang memerlukan lebih banyak kelengkapan ibadat termasuk surah Yasin, sejadah dan pakaian solat.

Sehubungan itu, pihaknya amat berharap lebih banyak NGO tampil menghulurkan sumbangan berkenaan kepada penjara di negeri ini.