HULU TERENGGANU - Keindahan alam semula jadi Tasik Kenyir bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan yang memukau malah berjaya menyatukan kembali ahli-ahli NGO Penggerak Wanita Pasir Puteh yang telah lama tidak berkumpul bersama akibat pelbagai kekangan kehidupan dan kesihatan.
Ahli-ahli NGO tersebut menyertai program santai selama dua hari satu malam di Tasik Kenyir pada 8 dan 9 Jun lalu dengan menginap di Houseboat Tiasara.
Program itu diketuai oleh Emma Nadia Johari bersama bondanya, Rohana Astana.
Pemimpin NGO Penggerak Wanita Pasir Puteh, Fara Haryanti Mat Zain dari Kampung Banir Belikong, Selising, berkata, program tersebut dianjurkan bagi mengeratkan semula hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli yang sudah lama tidak bertemu.
Menurut beliau, NGO berkenaan sebelum ini aktif menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan dan bantuan masyarakat, namun selepas pandemik Covid-19, aktivitinya agak terjejas apabila ramai ahli berhadapan masalah kesihatan dan komitmen keluarga.
"Walaupun kami kurang aktif seperti dahulu, hubungan sesama ahli tidak pernah putus. Kami sentiasa mengambil tahu perkembangan masing-masing dan akan berkumpul apabila ada kesempatan.
"Program ke Tasik Kenyir ini bertujuan mengumpulkan kembali ahli-ahli yang sudah lama tidak berjumpa. Kami bukan sekadar rakan NGO, tetapi sudah seperti sebuah keluarga besar," katanya.
Sepanjang program berlangsung, peserta menaiki Houseboat Tiasara yang bertolak dari jeti sekitar jam 10 pagi selepas sesi taklimat keselamatan dan pemeriksaan bot selesai dijalankan.
Houseboat tersebut singgah di Sungai Lasir yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan air terjunnya yang mempesonakan.
Para peserta bermalam di kawasan Sungai Lasir sambil menikmati panorama tasik yang tenang serta udara segar yang jauh daripada kesibukan bandar.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mandi-manda di air terjun, memancing, berkayak, bersiar-siar menggunakan bot kecil serta pelbagai aktiviti santai pada waktu malam seperti karaoke, barbeku dan memasak bersama-sama di atas houseboat.
Fara berkata, mereka amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak Houseboat Tiasara.
"Kelengkapan yang disediakan sangat memuaskan. Pemandu bot dan para pekerja juga sangat baik hati, mesra dan ringan tulang membantu kami sepanjang program berlangsung. Kami benar-benar berasa selesa dan dihargai sebagai pelanggan," katanya.
Sebelum pulang ke jeti, peserta turut berpeluang singgah di Taman Herba Tasik Kenyir untuk melihat pelbagai tanaman herba tradisional serta merasai minuman berasaskan tongkat ali, kacip fatimah dan mahkota dewa.
Menurut beliau lagi, Tasik Kenyir mempunyai keindahan alam semula jadi yang luar biasa dan wajar menjadi pilihan rakyat Malaysia yang ingin bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.
"Kita tidak semestinya perlu ke luar negara untuk menikmati percutian yang indah. Tasik Kenyir mempunyai keunikan tersendiri dengan tasik yang luas, kehijauan hutan hujan tropika dan suasana yang sangat mendamaikan.
"Saya sangat menggalakkan orang ramai datang ke sini kerana pengalaman yang diperoleh memang sangat berbaloi berbanding dengan kosnya yang tidak seberapa berbanding jika bercuti di negara-negara jiran," katanya.
Bagi Fara sendiri, program tersebut membawa makna yang lebih mendalam. Sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan tiga orang anak yang masih bersekolah, peluang untuk meluangkan masa bersama sahabat-sahabat lama menjadi satu terapi yang amat berharga.
Beliau yang telah berpisah dan ditinggalkan suami sejak hampir 11 tahun lalu berkata, kehidupan sebagai ibu tunggal bukan sesuatu yang mudah kerana segala tanggungjawab perlu dipikul sendirian.
"Sejak menjadi ibu tunggal, saya yang menjadi ibu dan saya juga yang menjadi ayah kepada anak-anak. Bukan mudah membesarkan tiga orang anak selama sebelas tahun seorang diri.
"Anak sulung saya kini berada di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, anak kedua di Tingkatan Dua di sekolah yang sama manakala anak bongsu berada di Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2.
"Anak sulung saya Nur Natasha Qalesya kini berada di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, anak kedua Norqaliff Afiq di Tingkatan Dua di sekolah yang sama manakala anak bongsunya Nor Qalissh Aqiff berada di Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2.
"Alhamdulillah, keluarga dan sahabat-sahabat banyak membantu saya sepanjang tempoh yang mencabar ini," katanya dengan nada penuh syukur.
"Saya sertai program ini untuk melepaskan sedikit tekanan dan melupakan seketika masalah harian. Kadang-kadang kita juga perlukan ruang untuk diri sendiri dan bertemu sahabat-sahabat yang sentiasa memahami.
"Alhamdulillah, percutian singkat ini memberi ketenangan dan mengembalikan semangat untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Program tersebut membuktikan bahawa kekuatan sesebuah NGO bukan hanya terletak pada aktiviti kebajikan yang dijalankan, tetapi juga pada ikatan persaudaraan yang terjalin dalam kalangan ahlinya.
Di sebalik keindahan Tasik Kenyir, tersimpan kisah persahabatan, pengorbanan dan semangat sekumpulan wanita Pasir Puteh yang terus tabah menghadapi cabaran kehidupan.