[VIDEO] Tangisan dinanti seorang ibu

Iklan

MARANG – “Sampai sekarang saya tidak percaya dia boleh bertahan dan terus hidup sehingga hari ini kerana ketika dilahirkan, tubuhnya terlalu kecil.

Demikian luah Siti Zakiah Mamat, 39, apabila mengenangkan kembali detik getir terpaksa dilalui anak keduanya, Muhammad Rayqal Rizqi Mohd Fadhir.

Iklan
Iklan

Katanya, Muhammad Rayqal yang kini berusia empat bulan dilahirkan pramatang ketika usia kandungan baru mencecah 31 minggu dengan berat 565 gram.

"Namun, ujian buat bayi saya tidak terhenti di situ apabila disahkan menghidap komplikasi kesihatan serius sejurus dilahirkan di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 1 Februari lalu.

Iklan

" Muhammad Rayqal dikesan mengalami masalah kebocoran perut (perforated stomach) dan radang usus kronik atau Neonatal Necrotizing Enterocolitis (NEC)," katanya.

Mengimbas kembali detik awal perjuangan bayinya, Siti Zakiah berkata, segalanya bermula apabila dia dihubungi pihak hospital ketika bayinya berusia 10 hari.

Iklan

“Doktor menghubungi saya dan memaklumkan anak saya mengalami komplikasi pada perut. Hasil ujian darah mengesahkan terdapat jangkitan kuman pada usus dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Keadaan anak saya ketika itu hanyalah 50-50. Kami berserah sepenuhnya kepada ALLAH SWT ketika menandatangani borang kebenaran kerana doktor menjelaskan semua implikasi mungkin dihadapi,” katanya.

Menurut Siti Zakiah, risiko paling ditakuti ketika itu adalah kegagalan prosedur pembedahan memandangkan keadaan fizikal bayinya terlalu kritikal dan kecil.

“Ketika pembedahan pertama pada 10 Februari, usia anak saya baru 10 hari dan berat badannya sekitar 600 gram sahaja,” katanya yang menetap di Kampung Rhu 2, Marang.

Jelas Siti Zakiah, dia dan suami, Mohd Fadhir Ahmad, 40, mengetahui serba sedikit mengenai masalah kesihatan bayi mereka sejak usia kandungan mencecah 24 minggu dan sentiasa bersedia dari segi mental.

“Memang ketika itu kami reda. Apabila dia dilahirkan, satu sahaja perkara saya mahu dengar dalam bilik bersalin iaitu tangisannya.

“Sebaik sahaja mendengar tangisan pertamanya, saya lega dan bersyukur walaupun selepas dilahirkan, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) PRIBA,” ujarnya.

Tambah Siti Zakiah, keputusan untuk meneruskan pembedahan diambil atas dasar kepercayaan terhadap kepakaran doktor dan sebagai ikhtiar terbaik demi menyelamatkan nyawa cahaya mata mereka.

“Jika pembedahan tidak dilakukan, risiko kehilangan nyawa terlalu tinggi. Nama Rayqal sendiri membawa maksud kekuatan dan syukurlah dia sekuat namanya,” katanya.

Kini, selepas melalui fasa kritikal, Muhammad Rayqal yang discaj pada 21 Mei lalu menunjukkan perkembangan sangat positif dan membesar dengan sihat hasil pemantauan rapi doktor serta pemberian susu khas.

“Saya bersyukur kerana hasil pemeriksaan susulan ketika berusia empat bulan, berat badannya kini mencecah 2.9 kilogram (kg).

“Dia menyusu dengan baik dan membesar secara normal. Setakat ini perkembangannya sangat baik,” katanya yang turut mempunyai seorang anak perempuan, Dhia Nur Sofia berusia tujuh tahun.

Walaupun keadaan anaknya semakin stabil, Siti Zakiah berkata, mereka masih perlu berulang-alik ke hospital sekali seminggu untuk pemeriksaan berkala.

“Doktor akan memantau perkembangan keseluruhan termasuk pemeriksaan mata dan lain-lain," jelasnya.