Cari strategi perkukuh jalinan perdagangan, ekonomi antarabangsa

Iklan
Ismail Sabri semasa ucaptamanya pada persidangan antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Jepun, pada Khamis

TOKYO - Negara Asia perlu bersama-sama mencari strategi bagi memperkukuh jalinan perdagangan dan kerjasama ekonomi antarabangsa untuk mendepani masalah yang berlaku akibat konflik di Ukraine.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama ekonomi dan integrasi yang ingin dibangunkan itu seharusnya perlu menepati keperluan dan terma-terma serantau.

Iklan
Iklan

Jelasnya, inisiatif itu perlu lebih inklusif dan tidak bersifat berpihak-pihak mengikut kepentingan geopolitik seperti dilakukan kuasa-kuasa besar sepanjang lebih sedekad lalu.

"Konflik yang melanda Ukraine menunjukkan negara-negara yang tidak sama sekali terlibat dengannya tetap terkesan. Sebagai sebuah negara yang merupakan antara 25 pedagang utama dunia, Malaysia juga mudah terdedah dengan sebarang perkembangan yang boleh mengganggu dan memberikan kesan yang buruk kepada keupayaan pengeluaran dan lojistik sejagat.

Iklan

"Tanpa banyak pilihan, banyak negara dunia mula giat mengatur strategi bagi memastikan jaminan keselamatan makanan masing-masing untuk jangka masa pendek.

"Namun begitu, tiada siapa yang boleh berjaya jika bertindak bersendirian dalam jangka masa yang panjang,” katanya dalam ucaptama pada persidangan antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di Jepun dengan tema ‘Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian’.

Iklan

Tambah beliau, dasar sehala yang diperkenalkan kuasa besar dunia hanya meningkatkan daya saing satu pihak dan memberikan tekanan kepada pihak lain termasuk pihak ketiga yang tidak terlibat langsung.

Kata beliau, keadaan itu boleh mengakibatkan berlakunya perbezaan mendalam dan Asia perlu mengelak daripada menjadi mangsanya.

"Lihat sahaja perang perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dengan China. Pengenalan tarif secara diskriminasi dan juga renjatan terhadap pelbagai rantaian bekalan telah memberikan kesan negatif di seluruh dunia.

"Inilah masalah yang dihadapi di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan rapat dengan ekonomi kedua-dua negara,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, seperti negara-negara membangun lain, Malaysia juga bergantung kepada keadaan serantau yang stabil, inklusif dan makmur.