4 komoditi agromakanan tidak perlu AP

Iklan
Terdapat empat jenis komoditi agromakanan iaitu kubis bulat, kelapa tua biji, ayam iaitu keratan ayam dan ayam bulat serta susu cair yang tidak lagi memerlukan Approved Permit (AP) kepada kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Terdapat empat jenis komoditi agromakanan iaitu kubis bulat, kelapa tua biji, ayam iaitu keratan ayam dan ayam bulat serta susu cair yang tidak lagi memerlukan Approved Permit (AP) kepada kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan berkata, walau bagaimanapun, AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa.

Iklan
Iklan

Keputusan pemansuhan AP tersebut telah diputuskan Jemaah Menteri seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu.

"Walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan daripada luar negara, pengimport masih perlu mempunyai Import Permit (IP) bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

Iklan

"Ini untuk memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit dan perosak serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya pada Khamis.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa AP bekalan makanan tidak lagi diperlukan dan berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah bagi menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

Iklan

Tambah MAFI, dengan pemansuhan AP, semua syarikat adalah dibenarkan mengimport semua komoditi agromakanan tertakluk kepada IP yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Ia berserta syarat-syarat yang tertulis dalam permit selaras dengan subseksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan juga Akta serta Peraturan lain yang berkuat kuasa,” katanya.

MAFI akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan.

"Ia juga supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan dan berkhasiat. Pada masa yang sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara,” jelasnya.

MAFI turut berharap dengan keputusan itu, bekalan makanan dan sekuriti makanan negara akan terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.