TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat pencapaian membanggakan apabila berada pada kedudukan ke-101 terbaik dunia dalam bidang Pendidikan menerusi Times Higher Education World University Rankings (THE WUR) 2026, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai institusi peneraju pendidikan negara sempena ulang tahun ke-104 penubuhannya pada Ahad.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen dan usaha berterusan seluruh warga universiti dalam memastikan UPSI terus berkembang serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, UPSI yang bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) pada 29 November 1922 telah melalui empat fasa perkembangan iaitu SITC, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sebelum dinaik taraf sebagai universiti pendidikan pada tahun 1997.
“Empat nama, empat zaman, namun ada sesuatu yang tidak pernah sirna, iaitu jiwa Ibu Kandung Suluh Budiman,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 Sesi Kelima di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini.
Menurut beliau, institusi yang bermula dengan hanya 120 pelatih guru kini berkembang menjadi universiti yang memiliki 10 fakulti dan tiga kampus utama, membuktikan keupayaan UPSI menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan sepanjang lebih satu abad.
Pada sesi kelima istiadat konvokesyen itu, seramai 741 graduan menerima skrol pengijazahan masing-masing, sekali gus menandakan kejayaan mereka menamatkan pengajian di universiti berkenaan.
Mengimbas perjalanan lebih 100 tahun UPSI, Md Amin berkata, perkembangan institusi itu bukan sekadar perubahan nama dan status, tetapi melambangkan perjuangan berterusan generasi terdahulu dalam memperkasakan pendidikan serta membangunkan masa depan negara.
Beliau turut menggesa graduan agar meneruskan legasi tersebut dengan membawa semangat Suluh Budiman dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing.
“Jika dahulu mereka membina jalan, kita mesti membuka laluan. Jika dahulu mereka menyalakan harapan, kita mesti mencipta perubahan. Legasi kini bukan sekadar untuk kenangan, tetapi amanah yang mesti diperjuangkan,” katanya.