‘Hujan batu’ tetap dirindu

Iklan
Nur Najihah (tiga dari kanan) bersama rakan-rakannya bergambar pada hari pertama Aidilfitri.

SHAH ALAM - Dalam kegembiraan umat Islam meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang, terdapat juga individu tidak dapat pulang ke kampung kerana pelbagai kekangan.

Situasi itu turut dirasai oleh sebilangan rakyat Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara terpaksa menyambut hari raya bersama rakan-rakan di negara asing.

Iklan
Iklan

Pelajar tahun akhir jurusan ekonomi di Universiti Kolej London, United Kingdom (UK), Shakir Zufayri Othaman berkata, ia merupakan tahun keduanya tidak dapat menyambut perayaan bersama keluarga.

Shakir, 23, menjelaskan, Mei merupakan bulan peperiksaan menyebabkan dirinya perlu melakukan persediaan yang rapi.

Iklan

"Sudah dua tahun tidak beraya di samping keluarga kerana Covid-19 dan musim peperiksaan. Tahun lepas, wabak Covid-19 masih merebak dan tiada vaksin. Oleh itu, saya berasa lebih selamat untuk kekal di London, United Kingdom (UK).

"Selain itu, bulan Mei dan Jun adalah musim peperiksaan untuk para pelajar di UK. Maka agak sukar untuk pulang beraya kerana sibuk dengan ulangkaji pelajaran dan jadual peperiksaan yang bertembung dengan Hari Raya Aidilfitri.

Iklan

"Insya-ALLAH jika tiada kekangan lain, tahun ini merupakan tahun terakhir saya di universiti dan akan menamatkan pelajaran pada bulan Jun ini."Saya amat teruja untuk kembali beraya di samping keluarga dan sanak saudara,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Shakir mengakui bahawa dia rindu akan suasana menyambut perayaan di kampung memandangkan dua tahun tidak dapat meraikannya dengan penuh kemeriahan.

"Rutin raya seperti bersalaman bersama mak ayah, menziarahi saudara mara, mendapat duit raya sememangnya sesuatu yang tidak dapat dirasai raya di perantauan.

"Di sini, suasana raya juga meriah. Saya dan kawan serumah akan masak masakan tradisional seperti lontong, ayam masak merah dan nasi impit.

Shakir Zufayri (berdiri, lima dari kanan) bersama rakan-rakannya bergambar pada hari pertama Aidilfitri.

"Rakan-rakan yang lain juga akan masak juadah istimewa seperti sate, kuah kacang, nasi tomato dan martabak untuk dimakan bersama.

"Walaupun masing-masing sibuk dengan peperiksaan, kami tetap berusaha memastikan raya pertama adalah hari yang istimewa dan diraikan dengan penuh meriah,” ujarnya.

Panggilan video

Turut mengalami situasi serupa, pelajar jurusan Undang-undang Universiti Queen Mary London, UK, Nur Najihah Zesdyzar berkata, walaupun berjauhan, rindu terubat apabila dapat melakukan panggilan video bersama keluarga."Dapat facetime dengan keluarga semasa raya sudah mencukupi bagi saya. Sentiasa mengetahui perkembangan mereka melalui WhatsApp menjadikan saya terasa ada di samping mereka.

NUR NAJIHAH

"Tidak dapat bayangkan kalau tiada teknologi seperti ini dan hanya boleh dengar melalui panggilan sahaja,” ujarnya.

Nur Najihah, 23, berkata, Syawal pertamanya di sambut dengan meriah di bandar London kerana ramai umat Islam meraikannya di sana.

"Komuniti Malaysia di London meriah dan ramai. Jadi saya tidak terlalu sedih kerana dapat beraya dengan ramai orang di sini,” katanya.

Sementara itu, pelajar perubatan di Universiti Mansoura, Mesir, Fahim Radzi Muhamad Fuad berkata, hasratnya untuk pulang ke kampung halaman tidak kesampaian apabila masih terdapat kuliah yang sedang berlangsung.

FAHIM RADZI

Akuinya, tiket penerbangan juga perlu ditanggung sendiri menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tidak pulang beraya.

"Tahun lepas tidak dapat balik kerana sedang peperiksaan. Tahun ini kuliah masih belum habis. Insya-ALLAH, tahun depan saya berpeluang untuk beraya bersama keluarga.

"Tambahan, tahun ini tahun akhir. Jadi kalau saya pulang juga, banyak kali kena beli tiket penerbangan. Jadi saya ambil keputusan untuk balik nanti sahaja.

"Perasaan rindu jangan cakaplah. Siapa yang tidak sedih raya berjauhan dengan keluarga. Tetapi, pelajaran perlu diteruskan. Ini sekali dalam kehidupan,” jelas pemuda berusia 24 tahun itu lagi.

Fahim Radzi (kiri) bergambar bersama rakan-rakannya yang menuntut di Universiti Mansoura, Mesir.