SHAH ALAM – Pengguna mempersoalkan kadar tambang perkhidmatan e-hailing yang didakwa melambung dan tidak munasabah sejak akhir-akhir ini.
Seorang kakitangan swasta, NurFarah Fazmi Mohd. Helmi, 28, berkata, dia terkejut apabila tambang perjalanan hariannya meningkat mendadak berbanding kadar biasa.
“Saya naik dari Cheras ke pejabat di Petaling Jaya dan agak terkejut apabila tambang yang biasanya sekitar RM15 hingga RM16 tiba-tiba naik sampai RM48. Paling maksimum saya pernah hadap.
“Mula-mula RM28, RM29, kemudian harga RM38, jadi saya cakap boleh tutup mata sikit. Tapi bila hampir RM50, memang terkejut sebab bukan waktu puncak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, tular di Threads tentang keluhan seorang pengguna yang mempersoalkan kadar tambang dari sebuah hotel di ibu kota ke kediamannya di Petaling Jaya naik hingga mencecah RM43.
Menerusi perkongsian terbabit, wanita berkenaan memaklumkan kadar tambang e-hailing bukan waktu puncak sebelum ini hanya sekitar RM16 sahaja.
Tambah Nurfarah Fazmi, kenaikan kadar tambang e-hailing sejak akhir-akhir ini mula disedarinya selepas berlaku peningkatan paling ketara pada minggu ini, khususnya dalam kalangan mereka yang berulang-alik di sekitar Lembah Klang.
"Saya ingat saya seorang sahaja sebab duduk di tengah KL, tapi rupanya ramai alami perkara sama. Perjalanan 2 hingga 3 kilometer (km) pun boleh jadi hampir RM30 hingga RM40.
"Jarak lebih kurang 5 hingga 6km dari Cheras ke Petaling Jaya pun harganya seperti dulu saya naik dari Shah Alam ke Serdang sekitar RM30 lebih," ujarnya lagi.
Seorang pegawai operasi kanan, Nik Nurqaisara Erisha Nik Ahmad Yusri, 28, pula tertanya-tanya dengan kenaikan itu, sedangkan jarak perjalanan masih sama.
“Jarak perjalanan dan keadaan trafik tidak banyak berubah, namun adakalanya kadar macam agak kurang munasabah apabila tiba-tiba naik dua kali ganda dari sebelumnya.
“Disebabkan itu, saya tertanya-tanya adakah kenaikan itu dipengaruhi faktor permintaan tinggi, termasuk ketika menghampiri Tahun Baharu Cina apabila pergerakan orang ramai meningkat," menurutnya lagi.
Beliau berpandangan, kenaikan harga perkhidmatan e-hailing mungkin disebabkan peningkatan kos operasi dan permintaan semasa.
Bagaimanapun, menurutnya, penetapan kadar yang telus dan berpatutan amat penting bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan pengguna dan pendapatan pemandu.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Mohd Affian Ramli, 42, berkata, kenaikan kadar tambang memberi tekanan tambahan kepada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan e-hailing untuk urusan harian.
“Saya tidak bersetuju dengan kenaikan harga e-hailing kerana ia menambah beban kos sara hidup pengguna, khususnya mereka yang bergantung kepada perkhidmatan e-hailing untuk urusan harian seperti pergi kerja atau kelas, membeli-belah atau menghadiri temu janji," katanya.
Mohd Affian yang merupakan pengurus kanan di sebuah syarikat itu berkata, kenaikan tambang yang tidak selari dengan jarak perjalanan, keadaan trafik, atau kualiti perkhidmatan menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan keadilan sistem penetapan harga.
“Jadi, pengguna seperti saya akan mencari alternatif lain yang lebih berpatutan,” katanya.