SEPANG - U Mobile memperluaskan liputan rangkaian 5G dalam bangunan (IBC) secara menyeluruh di enam hab pengangkutan utama negara sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna di lokasi berimpak tinggi.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan sokongan rakan infrastruktur digital nasional, Edotco, sebagai sebahagian daripada strategi peluasan rangkaian 5G syarikat.
Liputan ULTRA5G kini tersedia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA Terminal 1), KLIA Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Penang Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Pelanggan, pelancong serta kakitangan di hab pengangkutan terbabit kini boleh menikmati pengalaman ULTRA5G secara lancar di seluruh tingkat dan kemudahan bangunan, berbeza dengan liputan berasaskan hotspot yang lebih terhad.
Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026, U Mobile turut memperkenalkan pelan khas pelancong antarabangsa, ULTRA Tourist Plan, yang menawarkan 100GB data ultra pantas secara percuma selama 24 jam melalui pendaftaran eSIM menggunakan kod QR.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif disediakan U Mobile itu mencerminkan kemajuan kukuh Malaysia dalam memperluas sambungan 5G berkualiti tinggi di lokasi strategik.
"Inisiatif ini memberi peluang kepada negara memperagakan pencapaian dalam kelajuan internet tambahan harganya paling murah di dunia.
“Liputan 5G dalaman yang lancar di hab pengangkutan utama mengukuhkan asas ekonomi digital negara, meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta memastikan rakyat dan pelawat menikmati sambungan bertaraf dunia sebaik tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan ULTRA5G liputan dalam bangunan di hab pengangkutan utama di KLIA Terminal 1 di sini pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck, pihaknya komited terhadap aspirasi digital negara dengan memperluas liputan 5G secara agresif di bandar dan negeri.
Tambahnya, U Mobile turut memainkan peranan aktif dalam pendigitalan pelbagai sektor melalui pelaksanaan liputan 5G dalaman di bangunan seperti hospital, pusat konvensyen, pejabat kerajaan dan hab runcit.
"Dengan sokongan Edotco, liputan 5G dalaman canggih telah dipasang di semua tingkat dan kemudahan hab pengangkutan berkenaan bagi memastikan sambungan lancar dan tanpa gangguan.
"Infrastruktur 5G ini membuka peluang pendigitalan seperti pengawasan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan robotik bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan," ucapnya.
Kata Heang Tuck, pihaknya menyasarkan untuk melaksanakan liputan 5G dalaman di lebih 600 tapak IBC di seluruh negara menjelang separuh kedua 2029.
Pada majlis itu, U Mobile turut mempamerkan kamera RedCap 5G secara langsung pertama di Malaysia yang menstrim menggunakan rangkaian ULTRA5G syarikat itu.
Demonstrasi berkenaan bertujuan menunjukkan bahawa dengan sambungan 5G, kamera pengawasan boleh dipasang di mana-mana lokasi dengan penggunaan sumber rangkaian yang lebih rendah seperti kuasa dan lebar jalur, sekali gus mengurangkan kos pemasangan.
U Mobile menegaskan teknologi ULTRA5G generasi baharunya mampu memenuhi keperluan sambungan tersebut dengan lebih fleksibel dari segi pemasangan.