Pertembungan 17 penjuru bagi jawatan Naib Presiden PKR
Iklan
Gambar hiasan
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding pada pemilihan bagi penggal 2022/2025, setakat 7 malam ini.
Naib Presiden yang memperuntukkan empat tempat, ditandingi Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Amirudin Shari, dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.
Iklan
Iklan
Turut menawarkan diri bagi merebut jawatan berkenaan adalah penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, dan bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Turut bertanding adalah bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan dan ADUN Sentosa Dr G Gunaraj.
Lima lagi calon turut menghantar borang pencalonan naib presiden adalah Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) S Thiban, ADUN Chuah Datuk Michael Yek Diew Ching, serta ADUN Bukit Selambau Dr R Summugam.
Iklan
Bagaimanapun, penyandang Tian Chua pada 27 Mac lepas, mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu, Rafizi Ramli pula menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, manakala Nurul Izzah Anwar pula telah meletak jawatan pada 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin, bagaimanapun berkata jumlah calon berkenaan belum muktamad, memandangkan proses pencalonan bagi pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hanya akan ditutup pada 11.59 malam ini, sejak ia dibuka pada 9 pagi Isnin.
Iklan
Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Zaliha berkata, setakat ini hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan nombor satu parti, manakala jawatan nombor dua parti menyaksikan dua calon menawarkan diri iaitu Rafizi dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita PKR dan Ketua AMK Zaliha berkata, masing-masing dua pencalonan telah diterima pihaknya.
Bagi Ketua Wanita, ia ditandingi Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek dan Ketua Wanita PKR Selangor yang juga ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail, manakala jawatan untuk Ketua AMK, ia menyaksikan dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.
Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir semalam (Ahad) melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung pada Isnin.
Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lepas.
Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.
Zaliha juga berkata, ahli yang bersetuju menjadi pemilih dalam talian tidak boleh mengundi secara fizikal.
Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan MPP meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan di Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, di kongres tahunan masing-masing. - Bernama
Perikatan Nasional (PN) menubuhkan pasukan perundangan bagi meneliti tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu, lapor wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasukan berkenaan sedang meneliti tindakan yang sesuai dari sudut perundangan termasuk kemungkinan memohon injunksi atau pengisytiharan bahawa keputusan berkenaan tidak sah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/797938/berita/politik/pn-tubuh-pasukan-perundangan-teliti-tindakan-ros
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.