KOTA KINABALU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan untuk melakukan rombakan Kabinet secara tegas.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, ini termasuk menilai semula kedudukan menteri-menteri UMNO sekiranya parti tersebut terus mengambil pendirian yang bercanggah dengan semangat dan hala tuju Kerajaan Madani.
"Kerajaan Perpaduan bukan tempat untuk menikmati kuasa dan jawatan, tetapi pada masa yang sama menyerang kerajaan sendiri demi kepentingan politik kepartian.
"Perkembangan mutakhir jelas menimbulkan persoalan terhadap kesepakatan politik dalam Kerajaan Perpaduan. Pada September 2026, terdapat pemimpin UMNO yang menggesa supaya PRU16 dipercepatkan.
"Malah, pada 5 November 2026, Perdana Menteri sendiri menegur pemimpin parti kerajaan yang menyerang pentadbiran ketika berkempen, sedangkan mereka mempunyai wakil dalam Kabinet," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Zaidi yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH) Sabah, ketegangan antara UMNO dan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka turut memperlihatkan cabaran terhadap keutuhan kerjasama politik tersebut.
"AMK Sabah menghormati pendirian rasmi Presiden UMNO untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal. Namun, kesetiaan kepada kerajaan mesti dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kenyataan politik.
"Kita tidak menolak perbezaan pandangan, tetapi perbezaan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan kerajaan yang didukung bersama," katanya.
Zaidi menegaskan supaya kerajaan Madani tidak dijadikan sebagai tempat berpaut kepada kuasa, sedangkan agenda reformasi dan kepimpinan kerajaan terus dipertikaikan oleh pihak berkenaan.
"Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berprinsip dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah kos sara hidup, infrastruktur, pendidikan serta pembangunan negara, khususnya di Sabah," katanya.
Sehubungan itu katanya, AMK Sabah berpandangan bahawa Perdana Menteri tidak perlu teragak-agak melakukan rombakan Kabinet sekiranya langkah tersebut diperlukan demi memperkukuh pentadbiran negara.
"Kepentingan rakyat mesti mengatasi kepentingan parti. Reformasi tidak boleh menjadi tebusan kepada percaturan politik mana-mana pihak.
"Kerajaan Madani mesti dipertahankan atas dasar prinsip, keikhlasan dan tanggungjawab bersama, bukannya kompromi politik tanpa penghujung.
"Jika tidak lagi sehaluan, berilah laluan. Negara memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan sekadar mempertahankan kedudukan," katanya.