Penghinaan peribadi PM: AMK Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Albert Tei

Iklan
Syamer (depan, dua dari kiri) bersama beberapa barisan AMK Pulau Pinang hadir ke Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk membuat laporan polis terhadap Albert pada malam Selasa.

KEPALA BATAS – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat satu laporan polis berhubung kenyataan ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa mengandungi unsur penghinaan dan tuduhan peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang, Syamer Suhaimi berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada malam Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat susulan penularan rakaman video yang memaparkan Albert menyampaikan ucapan dalam sebuah program ceramah politik yang dipercayai dianjurkan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang didakwa menggunakan perkataan berunsur penghinaan seperti ‘peliwat’ dan ‘manusia biseksual’ bagi merujuk kepada Anwar.

Iklan

"Bukannya tuduhan peribadi berunsur seksual yang boleh menjejaskan maruah serta reputasi seseorang.

“Politik juga perlu mempunyai adab dan kematangan. Rakyat mahu mendengar perbahasan mengenai ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan masa depan negara, bukannya ceramah politik yang dipenuhi bahasa kesat, penghinaan serta serangan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan ucapan Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37 yang mendakwa Anwar seorang peliwat, biseksual selain pernah disabitkan kesalahan dan pernah dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Syamer turut membangkitkan kenyataan yang didakwa mengaitkan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan institusi diraja.

Katanya, perkara itu perlu diteliti secara serius memandangkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan diraja.

“Justeru, semua pihak perlu berhati-hati agar kenyataan politik tidak menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan dan fungsi institusi diraja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap rakaman video berkenaan.

Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut lunas undang-undang sekiranya terdapat bukti dan unsur kesalahan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik individu terbabit.

“Kita boleh berbeza parti, ideologi dan pandangan politik namun jangan sampai kebebasan bersuara dijadikan alasan untuk menormalisasikan penghinaan serta tuduhan peribadi.

“Kritik dasar, bukan cipta fitnah. Berpolitik lah dengan fakta, bukan penghinaan,” katanya.

Dalam klip video yang sama, Albert juga didapati menyentuh tentang pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang telah diberikan kepada Anwar dahulu tidak dipertikai sebaliknya pengampunan terhadap Najib dianggap sebagai sakau.