Pemilihan PKR 2022: Lebih 8,000 permohonan di peringkat cabang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 8,000 permohonan diterima untuk pencalonan bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 melibatkan jawatan peringkat cabang di seluruh negara setakat 1 tengah hari tadi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata, pencalonan yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi ADIL yang bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini turut berjalan lancar.

Memandangkan proses pencalonan bagi pemilihan PKR dijalankan buat julung kalinya menerusi aplikasi ADIL, beliau berkata, berlaku sedikit masalah teknikal kerana ia merupakan sistem baharu, namun kaedah melalui aplikasi itu tetap dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ahli-ahli terlibat.

"Ahli-ahli pun tidak biasa guna. Bagaimanapun bagi memudah cara proses pencalonan, PKR membuka pusat pencalonan secara fizikal di setiap negeri bagi membantu ahli yang ingin mencalonkan diri mereka melalui aplikasi ADIL," katanya dan menambah pencalonan bagi peringkat cabang PKR menerusi ADIL akan ditutup 12 tengah malam ini.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Nazri Kassim berkata, hampir 90 peratus pencalonan dilakukan secara dalam talian.

"Senarai penuh berkenaan jumlah pencalonan termasuk peratusan muka baharu dan lama belum diperoleh memandangkan masih ada masa hingga 12 tengah malam ini untuk ahli mengisi pencalonan,” katanya.

Di MELAKA, jurucakap PKR Melaka berkata, kira-kira 50 hingga 60 ahli menggunakan kemudahan disediakan pejabat perhubungan parti itu di Gangsa, Durian Tunggal bagi mengisi borang pencalonan sejak ia mula dibuka Jumaat lepas.

Beliau berkata, kemudahan itu disediakan pejabat perhubungan bagi mana-mana ahli yang tidak tahu mengisi borang pencalonan secara dalam talian, malah ada juga ahli-ahli parti berkumpul sesama mereka untuk mendaftar secara berkumpulan, selain ada mengisinya secara persendirian di rumah.

Artikel Berkaitan:

Di TERENGGANU, Setiausaha PKR negeri, Wan Bukhari Wan Muhammad berkata, ramai yang memuji kelancaran proses pencalonan menggunakan kaedah baharu iaitu menerusi aplikasi ADIL kerana ia lebih mudah, telus dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.

"PKR Terengganu sangat berpuas hati dengan kerjasama diterima daripada pimpinan pusat dan calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini. Semoga kempen juga akan berjalan dengan baik tanpa ada sebarang provokasi," katanya.

Walaupun PKR Terengganu belum mengetahui senarai muktamad calon di lapan cabang negeri itu, beliau berkata, pemantauan melalui media sosial mendapati kempen yang dijalankan calon-calon masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan parti.

Di KELANTAN, Pengerusi MPN, Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata, proses pencalonan selama tiga hari itu berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah walaupun mengalami sedikit gangguan teknikal ketika ahli mahu mengakses masuk aplikasi ADIL.

Sementara itu di PERLIS, proses pencalonan berjalan dengan teratur dan menurut Ketua Wanita PKR negeri berkenaan Gan Ay Ling, pihaknya tidak menerima sebarang rungutan daripada mana-mana pihak berhubung pelaksanaan proses pencalonan berkenaan, setakat ini.

"Kaedah pencalonan diguna pakai kali ini memudahkan semua pihak malah proses bantahan juga dapat dilakukan secara dalam talian selepas ini. Jika tidak sebelum ini ramai pihak keliru bagi melakukan proses bantahan sehinggakan menimbulkan pelbagai masalah," katanya sambil berharap supaya setiap calon bertanding secara sihat dan tidak membuat sebarang provokasi.

Proses pemilihan PKR 2022 di KEDAH juga berjalan lancar, dan menurut Koordinator negeri Kedah, JPP Datuk Rashid Din, senarai muktamad pencalonan dijangka dikeluarkan pada 19 April ini selepas proses bantahan dan rayuan dibuat.

"Data semua ada pada Ibu Pejabat JPP, mereka akan satukan semua pencalonan yang diterima sebelum maklumkan kepada kami di peringkat negeri," katanya.

Di PULAU PINANG, Pengerusi PKR negeri, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, beliau belum mendapat maklum balas terperinci daripada JPP termasuk senarai penuh berkenaan pencalonan kerana proses masih berjalan sehingga tengah malam ini.

"Pemilihan PKR di negeri ini melibatkan 13 cabang. Setakat semalam, pencalonan Ketua Cabang telah selesai, kecuali Kepala Batas dan Permatang Pauh. Saya rasa mereka akan jalankan hari ini,” katanya.

Di SELANGOR Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri, Hamidi A Hasan berkata, proses pencalonan di semua 22 cabang seluruh negeri itu berjalan lancar, sama ada secara dalam talian mahupun fizikal. - Bernama

Sementara itu Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Juwairiya Zulkifli ketika dihubungi melalui kiriman WhatsApp mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan di cabang berkenaan dan menurutnya setakat ini, beliau dijangka terlibat dalam pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan telah menghantar permohonan pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Gombak, semalam.

Farhash Wafa Salvador berkata setakat ini, beliau akan berdepan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan penyandang bagi jawatan berkenaan. - Bernama