Cubaan seludup 4,080kg minyak masak ke negara jiran gagal

Iklan
Minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas sebelum sempat diseludup ke negara jiran di jeti pangkalan nelayan Silam Kem, Lahad Datu.

LAHAD DATU - Cubaan lima lelaki menyeludup keluar 4,080 kilogram minyak masak bersubsidi gagal selepas dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu di jeti pangkalan nelayan Silam Kem, di sini, pada malam Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, lima lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan bersama sebuah bot kargo, lori berisi minyak masak dan dua motosikal.

Iklan
Iklan

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, tangkapan dan rampasan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di jeti berkenaan.

Katanya, sebuah bot ronda Maritim Malaysia dikerah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan seterusnya serbuan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, seorang lelaki tempatan ditahan bersama empat lagi warga asing ketika sedang memunggah kotak berisi minyak masak dari lori ke bot dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot dan lori berkenaan mempunyai muatan sebanyak 240 kotak minyak masak manakala dua motosikal digunakan untuk aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Iklan

Katanya lagi, anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM234,096 berdasarkan kuota pembelian minyak masak bersubsidi yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sehubungan itu, beliau berkata, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Sebelum itu, Nik Mohd Rizam berkata, Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan jenayah di perairan daerah ini.