Budak 10 tahun sering dipaksa bapa mencuri

Iklan
Tindakan seorang bapa yang sering memaksa anak lelakinya berusia 10 tahun mencuri barangan keperluan di beberapa premis perniagaan di daerah ini terbongkar apabila kanak-kanak itu ditahan pada Rabu. Foto hiasan

JEMPOL – Tindakan seorang bapa yang sering memaksa anak lelakinya berusia 10 tahun mencuri barangan keperluan di beberapa premis perniagaan di daerah ini terbongkar apabila kanak-kanak itu ditahan pada Rabu.

Semuanya terbongkar apabila kanak-kanak malang itu 'kantoi' mencuri satu paket Nescafe di sebuah pasar raya di Bahau di sini.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superitenden R Premkumar berkata, laporan polis berhubung kejadian yang berlaku sekitar jam 11.45 pagi itu dibuat oleh penyelia pasar raya terbabit.

"Kanak-kanak itu didapati mencuri satu paket Nescafe seberat 200 gram dan dia mendakwa perbuatan itu dilakukan atas arahan bapa kandungnya yang berusia 34 tahun.

Iklan

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek sering mengarahkan dan memaksa anak sulungnya itu mencuri barangan keperluan harian di beberapa premis perniagaan di sekitar Bahau dan Batu Kikir," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, sekiranya mangsa enggan, suspek akan memarahinya serta mengugut untuk mencederakannya.

Iklan

Disebabkan itu ujarnya, mangsa telah mengalami penderaan emosi serta penganiayaan apabila dipaksa melakukan perbuatan jenayah oleh bapanya.

"Susulan itu, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah serta dadah, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Dia turut mempunyai satu rekod dikehendaki polis pada tahun 2021,"katanya.

Justeru, Premkumar berkata, polis telah membuka dua kertas siasatan secara di bawah Seksyen 380/ 109 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Bahau pada Khamis.