Pembukaan sempadan: Kerajaan sedang perinci protokol

Iklan
Hishammuddin

SHAH ALAM - Kementerian dan agensi berkaitan sedang memperincikan protokol bagi pembukaan sempadan negara termasuk pra pelepasan serta ketibaan ke dalam negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebaik sahaja protokol tersebut dimuktamadkan dan kebenaran diberikan, rakyat Malaysia boleh pergi ke negara yang telah membuka sempadan mereka.

Iklan
Iklan

"Kabinet pada awal Februari turut telah bersetuju dengan pembukaan sempadan negara. Cadangan tarikh untuk melaksanakannya juga telah ada dan ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya semasa sidang akhbar Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 secara dalam talian melalui aplikasi Zoom pada Selasa.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, selari dengan arahan Kuartet pada 8 Februari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama beberapa kementerian serta agensi telah duduk semeja pada 26 Februari lalu.

Iklan

Antara kementerian terlibat adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Bagi agensi pula, ia melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Malaysia Airports Holding Berhad, Malaysia Convention and Exhibition Bureau, Malaysia Airlines dan Tourism Malaysia.

Iklan

"Susulan itu, satu keputusan secara prinsip telah dicapai iaitu pembukaan semula sempadan negara merupakan satu keperluan," ujarnya.

Jelas Hishammuddin, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan, berpandukan sains serta fakta terkini berkaitan Covid-19 selain membandingkan keperluan pembukaan sempadan dengan negara-negara lain.

Selain itu, beliau berkata, terdapat kaedah lain untuk rakyat pergi ke luar negara iaitu menerusi skim Vaccinated Travel Lane (VTL).

"Skim ini membolehkan pergerakan keluar dan masuk antara Malaysia dengan negara yang masih menutup pintu sempadannya.

"Buat masa ini skim VTL telah dimanfaatkan antara Malaysia-Singapura. Perdana Menteri juga telah umum skim VTL antara Malaysia-Thailand dan Malaysia-Brunei bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Dalam masa sama, KLN dan MOT juga sedang meneliti negara-negara yang berpotensi untuk dimasukkan dalam senarai skim VTL dari masa ke masa,” katanya.