AMK Johor tempelak Muda terlalu memilih kerusi

Iklan
Yuneswaran

JOHOR BAHRU - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R Yuneswaran menempelak tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dilihat terlalu memilih dalam isu pembahagian kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, PKR Johor telah membuka ruang yang cukup jelas dengan melakukan rundingan dua hala bersama Muda untuk pembahagian kerusi namun Muda tetap menolak pilihan yang diberi.

Iklan
Iklan

"PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada Muda tetapi mereka tolak ketiga-tiga kerusi dan sebaliknya meminta tiga kerusi lain. Kalau tolak satu atau dua boleh pertimbangkan untuk kita tukar kerusi lain tetapi mereka menolak kerana tidak mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu dan luar bandar.

"Adakah Muda hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja, bagaimana dengan kawasan luar bandar. Kenapa Muda tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai penduduk Melayu melebihi 78 peratus, mereka takut akan ditolak?" katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Yuneswaran berkata, Muda seharusnya menjadi lebih 'gentleman' dan tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan hanya berada dalam zon selesa.

Beliau berkata, jika benar Muda mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat maka mereka perlu membuktikan mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk daripada pelbagai latar masyarakat.

Iklan

"Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan antara 20 kerusi yang PKR mahu. Komposisi pengundi adalah 90.6 peratus Melayu, 8.6 peratus Cina dan 0.3 peratus India.

"Kerusi DUN Sri Medan adalah kerusi yang paling tinggi pengundi Melayu antara 20 kerusi yang PKR akan bertanding. Ini baru 'gentlemen fight'. Sebagai parti politik, kita harus berani menghadapi semua rintangan bukan duduk dalam zon selesa," katanya.