Penjawat awam, bekas kakitangan PKD didenda RM15,000

Iklan
Mohd Zamry (kiri) didenda RM15,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan bekas kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu kerana menipu dan bersubahat memperakukan pembayaran pembekalan tidak wujud.

Muhammad Nurhafizi Samat, 34, dan Mohd Zamry Yazid, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan pilihan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Muhammad Nurhafizi yang juga Penolong Pegawai Persekitaran didakwa menipu dan memperdayakan seorang kakitangan PKD Jasin sehingga mendorong individu itu memperakukan pembayaran sebanyak RM9,536 kepada sebuah syarikat pembekalan Peralatan bagi Unit Kawalan Mutu Air (KMAM) Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

Muhammad Nurhafizi (tengah) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.

Mohd Zamry Yazid yang ketika itu bertugas sebagai kakitangan PKD Jasin pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi dengan menipu individu sama apabila dengan sengaja mendorongnya memperakukan pembayaran dengan nilai sama kepada syarikat sama.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin antara 5 November hingga 9 November 2018.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh masing-masing diwakili peguam Mohd Zulfiqri Zakaria dan Azrul Zulkifli Stork merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guam meraka masih mempunyai tanggungan keluarga selain telah menyesali kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira wang penipuan itu merupakan dana awam yang digunakan untuk kepentingan peribadi.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM15,000 setiap seorang atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.