UMK sasar kemasukan 30 pelajar hufaz

Iklan
Nik Maheran (kanan) semasa mengadakan lawatan ke pameran program Outreach berkenaan di sini pada Selasa.

JELI - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyasarkan kemasukan 30 pelajar melalui program Asasi Hufaz Teknologi Maklumat, yang baharu diperkenalkan melalui kemasukan sesi September 2022/2023.

Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMK berkata, selepas menjalani program asasi selama setahun, mereka akan meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (IT).

Iklan
Iklan

"Sekarang ini kita sedang menunggu kelulusan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Insya-ALLAH untuk asasi ini, sedikit kelonggaran dari sudut prosedur diberikan.

"Untuk September 2023 pula, kita akan tawarkan Asasi Hufaz khusus kepada tahfiz, sekurang-kurangnya mereka sudah hafal 10 juzuk Al-Quran dan memenuhi kriteria Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 5A.

Iklan

"Kita sudah jalankan kerjasama dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK), jadi Insya-ALLAH kohort pertama ini, kita sasarkan 30 orang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Outreach Ramah Mesra bersama masyarakat setempat di UMK Kampus Jeli, di sini.

Iklan

Mengulas lanjut, Nik Maheran memberitahu, pihaknya turut berbincang dengan Bank Islam untuk menawarkan derma siswa ataupun sokongan kepada pelajar hufaz berkenaan.

Beliau berkata, selepas setahun, pelajar berkenaan akan melanjutkan pengajian dalam bidang yang disediakan supaya mereka masih boleh menyambung hafazan mereka.

"Sebagai sebuah universiti di Kelantan, kita mahu mengangkat martabat sekolah pondok sebab kita tidak mahu mereka keluar sebagai pendakwah bebas sahaja, sebaliknya mahu mereka menjadi pelajar profesional.

"Pelajar yang menghafal Al-Quran ini sebenarnya lebih cepat dalam mengingati serta bijak untuk menghafal data sains dan sebagainya. Sebab itu kita mula dengan teknologi maklumat terlebih dahulu. Selepas ini kita akan buka jurusan dengan lebih luas lagi.

"Untuk kemasukan pertama kita fokus pada dalaman dahulu, kemudian ia bergantung kepada perkembangan semasa untuk pelajar luar negara seperti Indonesia, Thailand, Kemboja dan China,"katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Program Outreach tersebut, Nik Maheran memberitahu, sebanyak 30 institusi pengajian tinggi terlibat dalam program berkenaan bagi memberi pendedahan dan maklumat jelas kepada masyarakat untuk memilih jurusan yang disediakan.

"Program ini juga turut mensasarkan pelajar dari golongan B40 dan orang asli yang berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat tinggi," katanya.